CHANTHABURI: Gelombang haba yang melanda Asia Tenggara turut menjejaskan pengeluaran buah durian di Thailand.
Ramai penanam dan penjual raja buah itu mengakui semakin gusar apabila pemanasan global menyebabkan hasil tanaman mereka menyusut sedangkan kos penyelenggaraannya semakin meningkat.
“Tahun ini adalah krisis. Jika cuaca panas terus meningkat pada masa hadapan, penghasilan buah akan berakhir. Petani tidak akan dapat mengeluarkan durian lagi,” kata petani durian, Busaba Nakpipat.
Wanita berusia 54 tahun yang mengambil alih ladang ibu bapanya di timur wilayah Chanthaburi, kawasan utama pengeluaran durian di Thailand sejak tiga dekad lalu itu mengadu amat terkesan dengan cuaca panas ekstrem yang melanda kini.
Musim durian biasanya berlangsung dari Mac hingga Jun, tetapi suhu yang meningkat sekitar 40 darjah Celsius selama berminggu-minggu dan kemarau yang melanda wilayah itu memendekkan tempoh penuaian.
Busaba berkata, haba menyebabkan durian yang digred mengikut berat dan saiz, masak lebih cepat dan tidak membesar sepenuhnya.
“Kualiti durian tidak memenuhi standard,” katanya.
Tambah Busaba, selain mendapat pulangan lebih kecil untuk tanaman itu, kos operasi yang meningkat menambah kerugian kepada peladang.
Jelasnya, sejak Mac musim kemarau mengeringkan sumber air dari telaga, menyebabkan dia terpaksa membawa masuk beribu-ribu liter air dengan trak untuk memastikan pokok duriannya terus hidup.
“Kami perlu membeli 10 lori air untuk mendapatkan 120,000 liter air bagi sekali siraman di seluruh 1.6 hektar ladang kami. Proses itu perlu diulang selama beberapa hari dengan kos beribu-ribu dolar,” katanya.
Eksport durian Thailand bernilai berbillion dolar dan menjadi produk pertanian ketiga paling berharga kerajaan selepas beras dan getah.
Peniaga, Siriwan Roopkaew yang menjaga gerai ibunya berkata, kekurangan air menjejaskan saiz buah, tetapi buat masa ini harga kekal tinggi berikutan permintaan dari China.
“Cuaca panas bermakna durian akan berkurangan. Tahun ini pun durian berkurangan. Biasanya, gerai saya akan penuh dengan durian sekarang.
“Kurang durian bermakna pendapatan kami juga berkurangan, jadi sukar bagi kami untuk meneruskan sara hidup sepanjang tahun,” katanya.-AFP










