Biden samakan serangan Hamas di Israel dengan Holocaust

Biden samakan serangan Hamas di Israel dengan Holocaust

JOE Biden (kiri) dan Speaker Dewan Rakyat, Mike Johnson memegang gambar mangsa Holocaust semasa hari peringatan Muzium Memorial Holocaust di Capitol AS.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran ancaman antisemitisme semakin meningkat di negara itu termasuk di kampus kerana sokongannya terhadap serangan Israel ke atas Gaza yang dilihat turut memecahbelahkan Demokrat dan menjauhkan beberapa pengundi muda.

Dalam ucapan untuk menghormati enam juta orang Yahudi yang terbunuh dalam Holocaust, Biden menyertai perdebatan hangat AS mengenai keselamatan Yahudi, Zionisme, kebebasan bersuara dan sokongan untuk Israel di negara luar dengan populasi Yahudi terbesar itu.

Berucap kepada khalayak dwipartisan pada peringatan tahunan Muzium Memorial Holocaust AS, beliau memberi amaran tentang risiko bahawa kebenaran tentang pembunuhan sistematik orang Yahudi semasa Perang Dunia Kedua akan terpadam.

“Tidak lagi bagi saya bermaksud jangan lupa. Tidak pernah lupa bermakna kita mesti terus menceritakan kisah itu, kita mesti terus mengajarkan kebenaran.

“Sebenarnya kita berisiko orang ramai tidak mengetahui kebenaran,” kata Biden di Dewan Pembebasan Capitol.

Biden bercakap tentang insiden kumpulan pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober tahun lalu, membunuh 1,200 orang yang disebutnya sebagai hari paling maut bagi orang Yahudi sejak Holocaust.

“Kebencian terhadap orang Yahudi ini terus bersembunyi di dalam hati terlalu ramai orang di dunia dan memerlukan kewaspadaan dan keterbukaan berterusan kita.

“Sekarang di sini kita berada, bukan 75 tahun kemudian, tetapi hanya tujuh setengah bulan kemudian dan orang ramai sudah lupa bahawa Hamas melancarkan keganasan ini. Saya tidak lupa, begitu juga anda dan kami tidak akan lupa,” katanya.

Ucapan Biden dibuat ketika tindakan balas Israel membunuh hampir 35,000 orang di Gaza dan menyebabkan ramai daripada 2.3 juta penduduk di kawasan itu berada di ambang kebuluran.

Biden mengakui hak rakyat AS untuk membantah dan berdemonstrasi, tetapi tidak menyebut tentang kematian Gaza.

“Kami tahu kambing hitam dan memburukkan mana-mana minoriti adalah ancaman kepada setiap minoriti. Tiada tempat di mana-mana kampus di AS untuk antisemitisme, ucapan kebencian atau sebarang jenis ancaman keganasan,” ujarnya.

Kelmarin, tentera Israel merampas sempadan utama antara Mesir dan selatan Gaza, menutup laluan bantuan penting untuk orang awam Palestin ketika mereka bersedia dengan kemungkinan serangan yang bertujuan untuk menghapuskan pejuang Hamas.

Ramai orang Yahudi AS mengkritik serangan Israel di Gaza, mengetuai bantahan terhadap tindakan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan mengutuk beliau di Kongres.

Biden berkata, komitmennya kepada Israel adalah kukuh, walaupun di tengah-tengah perselisihan faham yang tercetus selepas AS menyekat beberapa penghantaran senjata kepada tentera rejim Zionis itu.

Kumpulan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi melaporkan peningkatan mendadak dalam serangan antisemitik di AS serta serangan anti Islam sejak 7 Otober lalu. 

Sesetengah rakyat AS menyokong dasar toleransi sifar yang mentakrifkan antisemitisme secara meluas, manakala yang lain melihat ancaman serangan terhadap orang Yahudi digunakan untuk mengehadkan kritikan sokongan AS terhadap Israel.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN