Warga Britain dinobat lelaki tertua dunia

Warga Britain dinobat lelaki tertua dunia

JOHN Alfred Tinniswood bersama sijil Rekod Dunia Guinness miliknya.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pada usia 111 tahun dan 224 hari, John Alfred Tinniswood dari England yang dilahirkan pada tahun sama kapal Titanic tenggelam kini secara rasmi menyandang gelaran manusia tertua di dunia.

Rekod Dunia Guinness membuat pengumuman itu pada Jumaat lalu, dua hari selepas mengumumkan kematian bekas penyandang gelaran tersebut, Juan Vicente Pérez pada usia 114 tahun, sebulan sebelum hari lahirnya yang ke-115.

Dalam temu bual selepas menerima sijil rasmi gelaran itu, Tinniswood menganggap umurnya yang panjang hanya kerana dia bernasib baik dan berkongsi rutin hariannya membaca akhbar serta mendengar radio untuk mengekalkan minda yang sihat.

“Anda sama ada hidup lama atau tidak, anda tidak mempunyai banyak perkara yang boleh dilakukan mengenainya,” katanya.

Namun warga emas yang tidak merokok, jarang mengambil minuman keras sejak muda serta gemar menikmati hidangan ikan dan kentang setiap hari Jumaat itu mengakui sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupannya. 

“Jika anda minum, makan dan  berjalan terlalu banyak atau melakukan apa sahaja berlebihan, anda akan menderita akhirnya,” ujarnya.

Dilahirkan di bandar Liverpool di barat laut Britain pada 26 Ogos 1912, Tinniswood mengharungi wabak Influenza, Covid-19 dan juga memegang rekod untuk veteran lelaki Perang Dunia Kedua  tertua yang masih hidup.

Tinniswood adalah peminat sepanjang hayat kelab bola sepak Liverpool dan menyaksikan kesemua 19 kejuaraan liga kelab dan lapan kemenangan piala FA pasukan itu.

Moyang yang mempunyai seorang anak perempuan, empat cucu dan tiga cicit itu kini tinggal di sebuah rumah jagaan di bandar tepi pantai di Southport.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN