UNSC gagal capai kata sepakat bidaan Palestin sertai PBB 

UNSC gagal capai kata sepakat bidaan Palestin sertai PBB 

DUA kanak-kanak Palestin menaiki kereta mainan polis buatan sendiri di kem Deir el-Balah di tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) gagal mencapai kata sepakat mengenai bidaan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB.

Kegagalan itu berkemungkinan membawa kepada undian lebih formal berhubung permohonan Palestin, yang mempunyai status pemerhati di PBB itu sejak 2012 dan melobi selama bertahun-tahun untuk mendapatkan keahlian penuh bagi mengiktiraf kenegaraannya.

Jawatankuasa ad hoc UNSC yang terdiri daripada negara anggota majlis itu tidak berjaya mencapai konsensus menyeluruh, yang menjadi syarat wajib bagi menerima keanggotaan mana-mana negara ke dalam badan dunia itu.

Minggu lalu, Palestin menghidupkan semula permohonan menyertai PBB yang dikemukakan pada 2011 ketika serangan Israel memuncak di Gaza, mendorong UNSC melancarkan proses semakan rasmi.

“Apa yang kami minta adalah untuk mendapatkan tempat yang sepatutnya dalam kalangan masyarakat negara,” kata utusan PBB Palestin Riyad Mansour kepada pemberita awal minggu ini.

Duta Malta ke PBB, Vanessa Frazier yang kini menjadi presiden majlis itu mengikut sistem penggiliran berkata, tidak ada kesepakatan dalam isu tersebut.

Bagaimanapun, katanya, dua pertiga daripada ahli memihak kepada keahlian penuh tanpa menyatakan negara mana.

Sebanyak 15 negara anggota UNSC, termasuk lima anggota tetap perlu meluluskan sebarang permohonan negara baharu, bagaimanapun lima anggota tetap termasuk sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS) boleh membantah menggunakan kuasa veto.

Jawatankuasa ad hoc UNSC hanya boleh ke peringkat seterusnya jika menerima persetujuan semua ahli, yang membolehkan mana-mana ahli UNSC mengemukakan resolusi untuk mengundi mengenai perkara itu.

Menurut sumber diplomatik, undian boleh diadakan pada 18 April ini, yang diusulkan oleh Algeria mewakili negara-negara Arab dalam UNSC.

Walaupun usul itu diyakini akan menerima sembilan daripada 15 undi yang diperlukan, pemerhati meramalkan AS akan menggunakan kuasa veto untuk membantah.

Washington berkata, PBB bukanlah tempat untuk membincangkan kenegaraan Palestin, sebaliknya menegaskan ia perlu dibincangkan dan dipersetujui oleh Israel serta Palestin.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya