KUALA LUMPUR: Kehadiran sejumlah 5.8 juta pelancong asing ke Malaysia pada suku pertama tahun ini berjaya menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan sektor pelancongan negara.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy berkata, peningkatan positif pelancong asing itu menunjukkan pertumbuhan 32.5 peratus daripada tahun sebelumnya yang hanya memperoleh RM4.3 juta.
Menurutnya, sebanyak 10 pasaran teratas yang menyumbang kepada ini kejayaan ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Korea Selatan dan United Kingdom (UK), Australia dan Filipina.
“Pasaran sasaran utama dibahagikan kepada tiga peringkat, diterajui oleh keutamaan peringkat pertama seperti China, India, Indonesia, Vietnam dan Australia.
“Keutamaan peringkat kedua termasuk Korea Selatan, negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan UK, diikuti keutamaan peringkat ketiga yang terdiri daripada Taipei China dan Jerman, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hala Tuju Strategik Pelancongan Malaysia Ke Arah Sesi Rangkaian Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Tiong King Sing.
Tambah Manoharan, selain daripada pasaran tradisional seperti Brunei, Thailand dan Singapura, Tourism Malaysia turut memberi tumpuan pada pasaran baharu seperti Pakistan dan Bangladesh.
Sehubungan itu, katanya, bersempena persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Malaysia giat memperkasakan penjenamaannya melalui kempen menggunakan pengiklanan yang agresif.
Beliau menambah, pihaknya juga menggunakan teknik pemasaran pempengaruh dan pencipta kandungan yang dilihat berpotensi menarik lebih banyak orang ramai tertarik dengan produk pelancongan Malaysia.
“Tourism Malaysia yakin langkah itu mampu menarik 70 peratus pengguna digital dan 30 peratus yang menggunakan platform media tradisional.
“Kami turut merangka langkah strategik dengan mewujudkan perkongsian dengan syarikat penerbangan.
“Selain itu, kerjasama dengan ejen pelancongan dalam talian (OTA) dan pengendali sempadan darat mahupun laut dari negara jiran bagi tujuan meningkatkan kedatangan pelancong,” ujarnya.
Sehubungan itu, Manoharan berkata, langkah-langkah tersebut adalah untuk mencapai matlamat bersama dalam menarik 35.6 juta pelancong dan menjana RM147.1 bilion pada 2026 nanti.-UTUSAN










