PETALING JAYA: Pergolakan yang berlaku dalam rumah tangga pelakon, Nora Danish dan suami, Nedim Nazri bukan disebabkan kehadiran orang ketiga malah tidak melibatkan sebarang masalah berkaitan kerjaya.
Sebaliknya, bercakap kepada Utusan Malaysia, Nora berkata, persefahaman antara suami isteri yang semakin meruncing menjadi sebab utama mereka mengambil keputusan untuk tidak tinggal sebumbung sejak tiga bulan lalu.
“Nedim tidak ada masalah berhubung kerjaya saya sebagai anak seni. Tidak ada kena mengena juga dengan orang ketiga. Isunya lebih kepada persefahaman antara kami suami isteri.
“Tetapi kami mahu menjalani dan memperbaiki pergolakan ini dengan cara yang paling tenang serta baik. Kami masih saling menghormati antara satu sama lain supaya tiada persengketaan, demi anak-anak.
“Biasalah, lumrah perkahwinan. Setiap yang berkahwin pasti memahami. Perkahwinan itu memerlukan ruang. Kami cuba betulkan semula. Teruskan atau tidak, kami tetap berbaik,” ujarnya.
Desas-desus pergolakan rumah tangga Nora dan Nedim mula bertiup kencang selepas mereka tidak berkongsi gambar raya bersama baru-baru ini.
Semalam, pelakon Sayu Yang Syukur itu, dia mengakui rumah tangga yang dibina tujuh tahun lalu goyah namun mereka berdua sedang berusaha menangani kemelut tersebut.
Dalam pada itu, Nora berkata, hubungannya dengan suami ketika ini baik terutama melibatkan urusan anak-anak biarpun sudah tidak tinggal sebumbung sejak tiga bulan lalu.
“Kami tetap berhubung terutama pasal anak-anak. Saya tidak mahu apa yang berlaku memberi unsur negatif terutama kepada anak-anak. Anak-anak okay tetapi yang kecil itu mungkin tidak faham.
“Macam saya cakap, kami berdua sedang berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki hubungan ini. Sebab itu masing-masing perlukan ruang.
“Doakan yang terbaik. Perceraian adalah jalan terakhir. Kami berdua pernah melalui fasa itu jadi apa pun, kita mahu yang terbaik,” katanya.
Nora mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Mohamed Neqayl, enam tahun.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang anak, Putra Rayqal, 15 tahun sebelum bercerai pada 2008. – UTUSAN










