SYDNEY: Polis Australia mengisytiharkan insiden tikaman di Gereja Christ The Good Shepherd di pinggir bandar Wakeley, Isnin lalu, sebagai ‘serangan pengganas’.
Lapor BBC, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun diberkas selepas menikam seorang paderi dan beberapa pengunjung gereja semasa sesi khutbah disampaikan.
Bagaimanapun, tikaman rambang yang menyebabkan kecederaan itu tidak mengancam nyawa mangsa.
Insiden berkenaan turut tersiar dalam sesi siaran langsung semasa upacara di gereja berkenaan.
Kejadian yang berlaku pada sebelah petang itu mengundang keresahan ramai sehingga beratus-ratus orang berkumpul di luar gereja dan bertempur dengan anggota polis.
Pertempuran itu menyebabkan dua anggota polis cedera termasuk seorang daripadanya mengalami patah rahang selepas dipukul dengan batu-bata dan pagar penghalang.
Sebanyak 20 kenderaan polis juga mengalami kerosakan dengan 10 buah lagi tidak dapat digunakan.
Rusuhan itu menyebabkan anggota paramedik terpaksa berundur untuk berlindung di gereja sehingga terkurung selama lebih tiga jam bagi memastikan keadaan kembali tenang.
Susulan itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengadakan mesyuarat tergempar bersama Agensi Keselamatan Negara.
“Kami adalah sebuah negara yang mencintakan keamanan. Tiada tempat dan ruang untuk sebarang ekstremisme dan keganasan,” katanya.
Dalam masa sama, pihak berkuasa turut melahirkan kebimbangan mengenai penyebaran rakaman video mengenai insiden berkenaan dalam media sosial kerana ia sangat berbahaya terutamanya kepada golongan muda.










