PM Singapura berundur, lantik timbalan sebagai pengganti

PM Singapura berundur, lantik timbalan sebagai pengganti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong akan berundur dan timbalannya, Lawrence Wong bakal mengambil alih pucuk pimpinan 15 Mei ini.

“Saya akan melepaskan jawatan saya pada 15 Mei 2024 dan Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri seterusnya pada hari yang sama.

“Saya meminta semua rakyat Singapura memberi sokongan penuh kepada Wong dan pasukannya dan bekerjasama dengan mereka untuk mencipta masa depan yang lebih cerah untuk Singapura,” katanya.

Wong yang juga menteri kewangan, dipilih sebagai pengganti Hsein Long pada 2022 daripada generasi baharu penggubal undang-undang Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah tanpa gangguan sejak merdeka pada 1965.

“Saya menerima tanggungjawab ini dengan rendah hati dan rasa tanggungjawab yang mendalam. Saya berikrar untuk memberikan yang terbaik kepada anda dalam usaha ini,” kata Wong di media sosial.

Ahli ekonomi berusia 51 tahun yang berpendidikan di Amerika Syarikat (AS) itu dilihat secara meluas sebagai ahli media sosial yang bijak menangani krisis Covid-19 dengan berkesan selepas menyelia pasukan petugas pandemik kerajaan.

Penganalisis Politik Perundingan Solaris Strategies Singapore, Mustafa Izzuddin berkata, Wong sudah terkenal di Asia Tenggara dan dua kuasa besar yang paling penting bagi negara kota itu, iaitu China dan AS.

“Saya berpendapat beliau bakal membawa gaya kepimpinan yang lebih sesuai dengan generasi berbeza. Saya fikir prinsip teras Singapura akan kekal kerana ia adalah sistem yang sudah berjaya selama bertahun-tahun.

“Tetapi saya rasa gayanya mungkin berbeza sedikit kerana beliau berasal dari generasi berbeza,” katanya.

Hsein Loong, 72, meletak jawatan selepas menyandang tugas sebagai Perdana Menteri selama 20 tahun.

Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ketiga Singapura pada 12 Ogos 2004 bagi menggantikan Goh Chok Tong.

Pada November 2023, Hsein Loong mengumumkan beliau berhasrat untuk berundur sebelum pilihan raya umum 2025 dan akan digantikan oleh Wong tetapi membiarkan tarikh peralihan itu menjadi tanda tanya.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×