LOS ANGELES: Penunjuk perasaan pro-Palestin menyekat Jambatan Golden Gate di San Francisco, menghentikan sepenuhnya lalu lintas selama berjam-jam sebagai tanda protes yang diselaraskan untuk menentang perang Israel di Gaza.
TUTUP JALAN UTAMA
Rakaman udara menunjukkan lalu lintas tidak bergerak dalam satu arah di jambatan ikonik itu, manakala lorong di arah lain kosong dengan kehadiran pihak polis.
Protes sama turut diadakan di seluruh AS dan beberapa negara di seluruh dunia, selepas kumpulan A15 Action menggesa untuk menyelaraskan sekatan di pelbagai bandar bagi mempamer solidariti berterusan kepada rakyat Palestin.
“Di setiap bandar, kami akan mengenal pasti dan menyekat titik laluan utama dalam ekonomi, menumpukan pada titik pengeluaran dan peredaran dengan tujuan menyebabkan kesan ekonomi yang paling besar,” kata kumpulan itu di laman webnya.
Penunjuk perasaan menyekat jalan raya di Philadelphia dan menutup lalu lintas lebuh raya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare Chicago hingga memaksa beberapa penumpang berjalan kaki untuk mengejar penerbangan mereka.
Protes juga dirancang di Kanada, Itali, Korea Selatan, Colombia dan Belgium, manakala akaun laman sosial X kumpulan A15 menyiarkan gambar demonstrasi di Greece, Sepanyol dan Australia.
Penunjuk perasaan yang menghalang lalu lintas di Jambatan Golden Gate memegang sepanduk tertera slogan ‘Hentikan dunia untuk Gaza’.
“Kami tahu bahawa wang sebenarnya yang menjadi suara kepada pemimpin yang dipilih,” kata seorang penganjur yang mahu dikenali sebagai Hayshawiya kepada San Francisco Chronicle.
Peronda Lebuhraya California berkata, pegawainya membuat tangkapan sebelum mengumumkan trafik dibuka semula di kedua-dua arah sejurus sebelum pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan).
BIDEN HADAPI TEKANAN
Bantahan tersebut dibuat ketika Presiden AS, Joe Biden menghadapi kritikan dari partinya sendiri mengenai sokongan berterusan Washington terhadap Israel.
Israel melancarkan serangan kejam terhadap penduduk Gaza sejak November tahun lalu yang sudah mengorbankan 33,797 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Angka kematian yang semakin meningkat mengejutkan pengundi termasuk sekutu Biden, Senator Chris Coons yang menggesa sekatan bantuan kepada Israel selepas serangan mengorbankan tujuh pekerja bantuan dari sebuah badan amal AS yang beroperasi di Gaza.
Ketika negara itu menuju ke arah pilihan raya pada bulan November, Biden perlu mengimbangi rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Demokrat dengan mereka yang menyokong Israel ketika berdepan calon Republikan, Donald Trump.
Dalam protes lain di Los Angeles, beberapa ratus orang berarak di pusat bandar sambil memegang sepanduk tertulis ‘Tamatkan kepungan di Gaza sekarang, tamatkan pembiayaan AS kepada Israel’.
“Kami percaya kami harus membiayai perkara yang menyokong pendapat penduduk Philadelphia. Perkara yang sebenarnya akan menjadikan bandar kami lebih selamat,” kata penganjur protes, Hannah Zellman kepada Philadelphia Inquirer.
Protes lain di AS turut diadakan di Connecticut, di mana penunjuk perasaan menyekat akses kepada pengeluar aeroangkasa dan di Oregon, di mana sebuah lebuh raya ditutup.
Di New York, penunjuk perasaan pergi ke Jambatan Brooklyn dan menghentikan sementara lalu lintas sebelum polis bertindak membuat tangkapan dan mengembalikan laluan di kawasan jalan raya itu.-AFP










