NEW YORK: Tesla memberhentikan lebih daripada 10 peratus tenaga kerja kenderaan elektrik globalnya berikutan penurunan jualan dan perang harga yang semakin meningkat dalam pengeluaran kenderaan elektrik (EV).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk dalam satu kenyataan di platform X berkata, penyusunan dan penyelarasan semula syarikat diperlukan setiap lima tahun untuk mempersiapkan syarikat menempuh fasa pertumbuhan seterusnya.
Menurut laporan tahunan terbaharu, pengeluar kenderaan terbesar di dunia itu sebelum ini mempunyai 140,473 pekerja di seluruh dunia setakat Disember lalu.
“Kami sudah melakukan semakan menyeluruh terhadap organisasi dan membuat keputusan sukar untuk mengurangkan bilangan pekerja sebanyak lebih daripada 10 peratus di seluruh dunia.
“Tiada apa yang lebih saya benci, tetapi ia mesti dilakukan. Ini akan membolehkan kita menjadi lebih kukuh, berinovatif dan berkemampuan untuk mencapai kitaran fasa pertumbuhan seterusnya,” jelas Musk menerusi emel.
Sementara itu, beberapa pekerja memberitahu Business Insider, mereka hanya menyedari sudah diberhentikan selepas tiba di hadapan kawasan parkir syarikat berkenaan.
Di kilang Tesla di Sparks, Nevada, pekerja terpaksa beratur kira-kira dua jam selepas pasukan keselamatan diarah mengimbas lencana kakitangan sebelum dibenarkan masuk ke kemudahan itu.
“Di kilang, pasukan keselamatan mengimbas lencana pekerja yang keluar dari pengangkutan yang membawa kami ke kilang dan tempat letak kereta berhampiran.
“Biasanya, pengawal tidak mengimbasnya secara langsung tetapi pagi semalam proses itu dilakukan untuk mengenal pasti pekerja yang diberhentikan sebelum menghantar mereka kembali dengan van berasingan,” kata dua kakitangan kilang itu.










