ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 35 orang maut manakala puluhan lagi cedera ketika salji lebat dan hujan batu melanda kawasan pedalaman Pakistan pada hujung minggu lalu.
Lapor BBC, menurut pihak berkuasa pengurusan bencana, antara mangsa yang maut terdiri daripada 22 kanak-kanak.
Jelasnya, kebanyakan mangsa dihempap dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus kediaman mereka.
Cuaca ekstrem itu melanda kawasan utara dan barat Pakistan sehingga menyebabkan ratusan rumah rosak dan menghalang jalan raya.
Para pakar ramalan cuaca berasa hairan dengan kejadian salji itu memandangkan Pakistan biasanya mengalami keadaan cuaca lembap pada bulan Mac.
Bekas Pengarah Jabatan Meteorologi Pakistan, Mushtaq Ali Shah mengaitkan cuaca luar biasa itu dengan perubahan iklim.
Malah, beliau menganggap ribut hujan batu yang berterusan selama lebih 30 minit, adalah luar biasa.
Sementara itu, seorang penduduk dari daerah Kirk di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Hajit Shah memaklumkan sebelum ini kawasan kediamannya pernah mengalami salji sekali sahaja.
“Seingat saya, kira-kira 25 atau 30 tahun lalu, kawasan ini dilanda salji selama beberapa minit sahaja,” katanya.
Pihak berkuasa memaklumkan hujan lebat memusnahkan sekurang-kurangnya 150 rumah sepenuhnya manakala 500 lagi rosak sebahagiannya di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan Balochistan barat daya.
Bekalan elektrik terputus sepenuhnya di beberapa daerah selama beberapa hari.










