Ratusan mangsa sarang scam diselamatkan di Filipina

Ratusan mangsa sarang scam dalam talian diselamatkan di Filipina

POLIS Filipina mengambil keterangan warga asing di kompleks bangunan di bandar Bamban di wilayah Tarlac, utara Manila.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Ratusan individu termasuk warga Malaysia yang dipaksa bekerja di sebuah sarang scam dalam talian di Filipina berjaya diselamatkan dalam satu serbuan di utara Manila.

Menurut pihak berkuasa, kompleks seluas 10 hektar di Bamban yang terdiri daripada 36 bangunan pejabat serta asrama itu berselindung di sebalik syarikat perjudian internet.

Lapan suspek turut ditahan dalam operasi itu yang dilancarkan selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada seorang lelaki Vietnam yang didakwa melarikan diri dari pusat terbabit.

Polis berkata, pihaknya berjaya membongkar kegiatan jenayah itu di mana ramai yang dipercayai mangsa pemerdagangan manusia dipaksa melakukan pelbagai penipuan dalam talian dengan berdepan ancaman fizikal atau hukuman lain.

.“Pekerja yang diselamatkan memberitahu syarikat tersebut terlibat dalam penipuan cinta, mata wang kripto serta beberapa aktiviti penipuan lain.

“Mangsa dikawal dengan cara pasport masing-masing dirampas bagi menghalang mereka melarikan diri.

“Pekerja yang gagal mencapai kuota mereka dihukum secara fizikal, dilarang tidur atau dikurung di dalam bilik mereka,” kata Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas Khas Kes Jenayah, Gilberto Cruz yang mengetuai serbuan pada awal pagi itu.

Dalam serbuan itu, polis menemukan 432 warga China, 371 warga Filipina, 57 warga Vietnam, lapan warga Malaysia, tiga warga Taiwan, dua warga Indonesia dan dua rakyat Rwanda.

Polis Filipina memaklumkan bahawa seorang pekerja Malaysia juga meminta bantuan selepas didakwa ditahan secara paksa di lokasi sama di Bamban.

Susulan itu, beliau berkata, lapan individu ditahan sebagai suspek kegiatan pemerdagangan manusia serta penahanan secara haram, manakala pihak Kedutaan China sudah diminta membantu mengenal pasti identiti mereka.

Menurut Cruz, beberapa warga Filipina yang turut ditemui di lokasi berkenaan akan dibebaskan tanpa didakwa kerana didapati hanya berada di situ untuk bekerja sebagai kakitangan penyelenggaraan atau keselamatan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×