PARIS: Kerajaan Perancis meningkatkan amaran keganasan ke tahap tertinggi susulan kejadian tembakan oleh kumpulan militan IS di sebuah dewan konsert di Moscow.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Gabriel Attal selepas mengadakan mesyuarat keselamatan tergempar dengan Presiden, Emmanuel Macron serta pegawai kanan pertahanan negara itu.
Attal dalam catatan di laman X berkata, keputusan penting itu dibuat beberapa bulan sebelum Paris menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.
“Keputusan ini diambil berdasarkan dakwaan IS bertanggungjawab terhadap serangan di Moscow dan perkara itu memberi ancaman yang membebankan kepada negara kita,” katanya.
Sistem amaran keganasan Perancis mempunyai tiga tahap dan tahap tertinggi diaktifkan selepas serangan di Perancis dan di luar negara atau apabila wujud ancaman yang dianggap akan berlaku.
Ia membolehkan langkah keselamatan luar biasa dikerahkan termasuk rondaan yang dipertingkatkan oleh angkatan tentera di tempat awam seperti stesen kereta api, lapangan terbang dan tapak keagamaan.
Gabungan kumpulan IS di Afghanistan mengaku bertanggungjawab ke atas insiden tembakan rambang di Crocus City Hall Sabtu lalu yang mengorbankan 137 nyawa dan disifatkan antara serangan pengganas paling maut di Eropah.-REUTERS










