NEW YORK: Tindakan Amerika Syarikat (AS) tidak memveto keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung resolusi untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta di Gaza, menimbulkan spekulasi.
Keputusan AS itu mendapat perhatian meluas yang disifatkan sebagai tanda kekecewaan Presidennya, Joe Biden terhadap pentadbiran Israel yang meneruskan kempen pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.
Bagaimanapun, Penganalisis Politik, Adam Shapiro berpandangan walaupun wujud pergeseran antara kedua-dua pemimpin itu, ia tidak menghalang pemindahan senjata diteruskan.
“Perubahan pendirian AS itu sudah cukup mendorong tindak balas sengit daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyelar AS kerana gagal menyekat usul itu.
“Pejabat Netanyahu turut mengeluarkan kenyataan yang menuduh Washington merosakkan usaha perang Israel sekaligus menunjukkan ketegangan yang semakin meningkat dengan Biden,” katanya lapor Al-Jazeera.
Isnin lalu, UNSC meluluskan resolusi untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta di Gaza.
Kesemua 14 Ahli Majlis UNSC mengundi bersetuju termasuk Russia dan China, manakala, AS mengambil pendirian berkecuali dan tidak menggunakan kuasa veto menghalang resolusi berkenaan.
Resolusi itu akan memastikan gencatan senjata sementara dan secara kekal dilaksanakan, sejak perang tercetus 7 Oktober lalu.
Kandungan resolusi itu turut menuntut pejuang Hamas membebaskan baki tawanan Israel di Gaza serta akses bantuan kemanusiaan ke wilayah konflik berkenaan.
Keputusan tersebut mengundang kemarahan rejim Zionis yang bertindak membatalkan kunjungan ke AS sebagai tanda protes.
ISRAEL TETAP DAPAT SENJATA
Kumpulan Hak Asasi Palestin kini mempersoalkan sama ada pentadbiran Biden akan menggunakan pengaruhnya untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menoktahkan segera penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Biden kerap kali menggesa kerajaan Israel supaya melindungi orang awam dan membenarkan lebih banyak bantuan memasuki Gaza, namun, setakat ini beliau belum meletakkan syarat kepada Israel bagi merealisasikan matlamat tersebut.
Felo Polisi AS di Al-Shabaka, sebuah badan pemikir Palestin, Tariq Kenney-Shawa berkata, ujian sebenar adalah sama ada AS akan membalas ‘senarai permintaan’ persenjataan yang dijangka diminta oleh Israel.
Ini berikutan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant yang melakukan kunjungan ke Washington bagi meminta senjata khusus ketika perang sedang berlangsung seperti dilaporkan media AS dan Israel.
“Dasar membekalkan senjata kepada Israel dan Netanyahu bagi meneruskan serangan di Gaza masih berterusan tanpa gangguan sejak Oktober tahun lalu.
“Pentadbiran Biden mahu dilihat kononnya mengambil langkah awam yang diperlukan bagi menghalang Israel. Namun, pada hakikatnya, AS sentiasa memudahkan dan membenarkan tindakan Israel tanpa henti.
“Sehingga kini, Israel belum berhadapan sebarang tindakan konkrit dari AS terhadap jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.
Serangan tentera Zionis sejak peperangan tercetus Oktober lalu, mengorbankan lebih 32,000 rakyat Palestin sehingga menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
Israel bahkan bertindak kejam apabila menghalang bantuan kemanusiaan sehingga menyebabkan wilayah konflik itu diancam kebuluran.
INFOGRAFIK:
UNSC LULUS RESOLUSI GENCATAN SENJATA
MENYOKONG – 14
*United Kingdom
*Perancis
*China
*Russia
*Jepun
*Switzerland
*Korea Selatan
*Malta
*Mozambique
*Algeria
*Ecuador
*Guyana
*Slovenia
*Sierra Leone
BERKECUALI – 1
*Amerika Syarikat










