LONDON: Istana Kensington dilaporkan menyiarkan gambar Puteri Wales, Kate Middleton yang disunting, sehingga menyebabkan AFP dan agensi berita lain menarik balik imej itu.
Ia merupakan gambar terbaharu dikeluarkan secara rasmi sejak Kate menjalani pembedahan abdominal pada Januari lalu.
Gambar yang dikeluarkan sempena Hari Ibu di Britain itu menunjukkan Kate sedang duduk sambil tersenyum di atas kerusi taman, berpakaian seluar jeans, sweater dan jaket gelap, selain dikelilingi tiga anaknya iaitu Puteri Charlotte, Putera Louis dan Putera George.
Namun, pemeriksaan rapi menunjukkan tangan kiri Kate tidak sejajar dengan lengan kardigannya, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai keaslian gambar itu.
Selepas menyiarkan gambar yang disediakan pihak istana, Associated Press (AP), Reuters dan AFP memutuskan untuk menarik balik gambar berkenaan daripada siaran.
“Kami dapati gambar itu disunting, oleh itu ia ditarik balik daripada sistem AFP,” kata agensi itu dalam nota kepada pelanggan.
AP pula memaklumkam pihaknya menarik balik imej itu kerana ‘pemeriksaan lebih dekat, menampakkan ada pihak memanipulasi imej dengan cara yang tidak memenuhi standard foto AP‘.
Setakat ini, Istana Kensington tidak memberi sebarang maklum balas berhubung permintaan AFP untuk ulasan.
Kate, 42, yang juga isteri kepada pewaris takhta Britain, Putera William, dikatakan sudah sembuh daripada pembedahan dan berada di kediaman peribadi di Windsor, barat London, sejak dibenarkan keluar dari hospital pada 29 Januari lalu. – AFP










