GAZA: Sambil menahan sebak, jurugambar, Hussein Jaber mengimbau tragedi menyayat hati melihat anak perempuannya ditembak tentera Israel sebelum terkulai dan meninggal dunia di hadapan matanya.
Salma, kanak-kanak comel berusia empat tahun maut dalam dakapan bapanya selepas ditembak di leher, meninggalkan keluarga itu hanya dengan gambar kenangan saat gembiranya yang pasti meruntun hati sesiapa yang melihatnya.
Hussein yang bertugas sebagai jurugambar Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), sedang membawa keluarganya melarikan diri dari Gaza City pada 5 Disember lalu apabila insiden tragis itu berlaku.
“Tiada sesiapa kecuali penduduk bangunan kediaman yang sedang berjalan keluar dan hendak bertolak ke arah barat seperti yang diarahkan oleh tentera Israel, termasuk keluarga saya.
“Saya sedang menunggu di seberang jalan dan melihat Salma berada di hadapan. Ketika dia sampai di persimpangan jalan, tiba-tiba tembakan rambang berlaku. Kereta kebal Israel datang ‘menyembur’ kawasan itu dengan peluru.
“Salma ditembak di leher di depan mata saya. Dia mengerang kesakitan tetapi terus berlari. Saya lantas memeluknya dan membawanya masuk ke dalam kereta sementara menanti isteri dan dua lagi anak saya, Omar dan Sarah. Saya turut terkena tembakan di lengan ketika itu,” katanya kepada Al Jazeera.
Hussein mengakui sangat terkejut dan berang dengan tindakan kejam rejim Zionis yang sengaja menyerang walaupun menyedari hanya orang awam yang berada di kawasan tersebut ketika kejadian.
“Sangat jelas mereka yang berlari itu adalah orang awam yang sedang berpindah dari bangunan kediaman mereka menuju ke arah barat mengikut arahan tentera Israel. Kami tidak menimbulkan sebarang ancaman pun.
“Salma terbunuh manakala kakaknya Sarah berusia sembilan tahun terselamat daripada kematian apabila peluru menembusi jaketnya.
“Anak lelaki saya yang berusia tiga tahun, Omar, masih bertanya kepada saya di mana Salma. Dia masih tidak faham bagaimana kakak kesayangannya yang sentiasa menemaninya bermain kini sudah tiada,” katanya.
Hussein kemudian menunjukkan kepada wartawan lokasi Sekolah Buraq, di mana kereta kebal Israel merampas kawasan itu untuk dijadikan kubu mereka selepas penduduk yang berlindung di sana keluar melarikan diri.
Masyarakat antarabangsa mengkritik tentera rejim Zionis yang tidak henti menyasarkan kawasan kediaman penduduk dan kem pelarian ketika perang semakin memuncak.
Minggu lalu, Amerika Syarikat (AS) menganggarkan lebih 25,000 wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam peperangan berterusan Israel ke atas Gaza.










