Briged al-Qassam bedil tapak tentera Israel, lancar 40 roket

Briged al-Qassam bedil tapak tentera Israel, lancar 40 roket

KEROSAKAN pada bangunan di Kiryat Shmona berikutan serangan roket yang dilancarkan oleh Briged al-Qassam. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Briged al-Qassam memaklumkan pasukan pejuangnya berjaya melancarkan dua serangan dengan melepaskan 40 roket dari arah selatan Lubnan menyasarkan tapak tentera Israel.

Lapor Palestine Chronicle, briged al-Qassam menegaskan serangan itu merupakan tindak balas terhadap genosid dilakukan Israel di Gaza dan pembunuhan beberapa komander di pinggir bandar selatan Lubnan.

Sayap tentera Hamas itu dalam satu kenyataan menjelaskan pasukan pejuangnya mengebom ibu pejabat Briged Timur ke-769, Kem Gibor dan Berek Lapangan Terbang di Beit Hillel.

“Briged al-Qassam membedil ibu pejabat Briged Timur Kem Gibor dan Berek Lapangan Terbang di Beit Hillel, utara Palestin dengan dua serangan yang terdiri daripada 40 roket Grad.

“Serangan itu merupakan tindak balas terhadap pembunuhan beramai-ramai Zionis ke atas orang awam di Semenanjung Gaza.

“Malah, serangan itu juga sebagai membalas dendam terhadap pembunuhan para pemimpin syahid di pinggir bandar selatan Lubnan,” jelas kenyataan.   

Saluran 12 milik rejim Zionis mendakwa sebanyak 14 roket dilancarkan dari Lubnan di bandar Kiryat Shmona, utara Israel.

Tentera Israel mendakwa pasukannya menyaksikan 10 roket dilancarkan di beberapa bandar di wilayah Galilea dengan sekurang-kurangnya sebuah roket masuk ke Kiryat Shmona. 

Ketegangan yang berlaku di Lubnan dikaitkan dengan tindakan genosid Israel di Semenanjung Gaza.

Israel melancarkan serangan dahsyat ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 29,878 penduduk Palestin terbunuh dan seramai 70,215 lagi cedera dalam serangan berterusan Israel di Gaza sejak konflik tercetus.

Malah, sekurang-kurangnya 7,000 orang tidak dapat dikesan atau dianggap maut tertimbus di bawah runtuhan bangunan di seluruh Gaza.    

Beberapa pertubuhan antarabangsa dan Palestin memaklumkan majoriti mangsa yang terbunuh dan cedera merupakan wanita dan kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×