MOSCOW: Kemenangan besar Vladimir Putin dalam pilihan raya umum yang mengukuhkan kedudukannya sebagai Presiden Russia selama enam tahun lagi mencetus pelbagai reaksi daripada pemimpin barat yang rata-rata tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
White House dalam satu kenyataan mendakwa pilihan raya itu jelas tidak bebas dan tidak adil melihatkan bagaimana Putin memenjarakan lawan politiknya dan menghalang beberapa yang lain daripada bertanding menentangnya.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut mengecam kemenangan Putin yang disifatkannya sebagai diktator.
“Jelas kepada semua orang di dunia bahawa pemimpin itu seperti yang sudah sering berlaku dalam perjalanan sejarah, hanya gila untuk berkuasa dan melakukan segala-galanya untuk memerintah selama-lamanya.
“Tiada kesahihan dalam pilihan raya ini dan ia tidak sepatutnya dibenarkan sama sekali. Beliau sepatutnya dibicarakan di The Hague. Itu yang kita perlu pastikan,” tegasnya.
Sementara itu, kementerian luar Jerman menerusi platform media sosial X berkata, pilihan raya pseudo di Russia tidak bebas dan tidak adil, malah keputusan itu tidak mengejutkan sesiapa.
“Pemerintahan Putin adalah autoritarian, beliau bergantung kepada penapisan, penindasan dan keganasan. Pilihan raya di wilayah yang diduduki di Ukraine sepatutnya terbatal dan tidak sah kerana melibatkan satu lagi pelanggaran undang-undang antarabangsa,” ujarnya.
Menteri Luar United Kingdom (UK), David Cameron turut senada dengan Jerman berikutan tindakan Russia mengadakan pilihan raya secara haram di wilayah Ukraine, kekurangan pilihan untuk pengundi serta ketiadaan pemantau bebas daripada Organisasi untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE).
Kenyataan daripada kementerian luar Poland pula mengutuk pilihan raya selama tiga hari itu yang didakwa berlaku dalam suasana penindasan.
“Dari 15 hingga 17 Mac 2024, apa yang dipanggil Pilihan Raya Presiden berlaku di Russia.
“Pengundian berlaku dalam keadaan penindasan yang melampau terhadap masyarakat, menjadikannya mustahil untuk membuat pilihan yang bebas dan demokratik,” tambahnya.-REUTERS










