Apnea tidur boleh ganggu ingatan

Apnea tidur boleh ganggu ingatan

MESIN CPAP dapat membantu merawat gejala apnea tidur.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Penghidap apnea tidur berpotensi mengalami masalah ingatan atau pemikiran, berdasarkan kajian awal pakar neurologi di Boston.

Menurut UPI, penyelidikan itu berdasarkan sampel perwakilan nasional orang dewasa Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan kelmarin dan akan dibentangkan pada mesyuarat tahunan Akademi Neurologi AS ke-76 di Denver bermula 13 April ini.

Walaupun kajian mendapati peserta yang mengalami gejala apnea tidur berisiko mempunyai masalah ingatan atau pemikiran yang lebih tinggi, ia tidak menentukan sama ada gangguan itu menyebabkan penurunan kognitif.

Apnea tidur menyebabkan gangguan pernafasan berulang semasa terlena yang berpotensi menurunkan tahap oksigen darah. 

Antara gejalanya termasuk mendengus, tercungap-cungap dan berhenti bernafas seketika, malah orang yang mengalami apnea tidur juga sering sakit kepala di waktu pagi atau sukar untuk meneruskan kerja dalam tempoh lama.

Kajian baharu itu melibatkan 4,257 individu dari umur 20 hingga melebihi 80 tahun yang diminta menjawab soal selidik tentang kualiti tidur serta masalah ingatan dan pemikiran mereka.

Tinjauan itu mendedahkan, mereka yang melaporkan simptom apnea tidur 50 peratus lebih berkemungkinan untuk mengalami masalah ingatan atau pemikiran berbanding orang yang tidak mempunyai gejala itu.

“Seramai 1,079 peserta melaporkan gejala apnea tidur. Daripada mereka yang mempunyai simptom, 357 orang atau 33 peratus berkata mereka mempunyai masalah ingatan atau pemikiran berbanding 628 orang atau 20 peratus tanpa gejala apnea tidur.

“Memandangkan kegagalan diagnosis yang lazim dan kekurangan rawatan apnea tidur, langkah proaktif dalam menyaring dan menguruskan apnea tidur diperlukan,” kata Pakar Neuromuskular Pusat Perubatan Boston dan pengarang kajian tersebut, Dr. Dominique Low.

Low menjelaskan, rawatan berkesan menggunakan mesin tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) dapat membantu mengurangkan gejala tersebut.

“Tidur berkualiti bersama pemakanan sihat, senaman kerap, penglibatan sosial dan rangsangan kognitif boleh mengurangkan risiko masalah pemikiran dan ingatan selain meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN