GAZA: Tentera Israel gagal membuktikan dakwaan mereka bahawa terowong yang digunakan oleh kumpulan pejuang Hamas terletak di bawah tanah perkuburan di Gaza.
Minggu lalu, siasatan saluran CNN mendedahkan tentera Israel merosakkan dan memusnahkan sekurang-kurangnya 16 tanah perkuburan di Gaza sejak permulaan serangan ke atas kawasan yang dikepung itu.
Isnin lalu, saluran itu melaporkan, komander Israel gagal membuktikan dakwaan mereka semasa lawatan wartawannya selama tiga jam ke tanah perkuburan Bani Suheila dan kawasan sekitarnya.
Tentera Israel menggali tanah perkuburan tersebut yang terletak berhampiran Khan Younis selepas mendakwa pasukannya berulang kali diserang dari kawasan itu.
Komander Israel yang membawa kru CNN ke dalam terowong berhampiran tanah perkuburan untuk melihat pusat perintah yang didakwa berada di bawah kawasan tanah perkuburan di bandar itu.
Bagaimanapun, CNN melaporkan komander Pasukan Pertahanan Israel (IDF) enggan menunjukkan kepada wartawannya terowong yang dikatakan berada di situ atas alasan terdapat jentera sensitif di bawah tanah dan struktur itu tidak stabil.
Jurucakap tentera berkata, rakaman video akan disediakan mengenai terowong di dalam lubang besar itu tetapi tidak pernah melakukannya.
“Sebaliknya, tentera Israel menyediakan rakaman dron yang menunjukkan dua pintu masuk terowong lain satu.
“Wartawan cuba mencari lokasi pintu masuk terowong menggunakan rakaman di darat serta imej satelit dan mendapati kedua-duanya tidak berada di kawasan tanah perkuburan,” jelas laporan itu
Minggu lalu, lebih 100 mayat penduduk Palestin yang digali dan dicuri oleh tentera Israel dari pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza dipulangkan dan dikebumikan semula di sebuah kubur besar di selatan bandar Rafah.
“Beberapa mayat dalam keadaan reput dikembalikan melalui persimpangan Kerem Shalom.
“Menurut sumber perubatan, pemeriksaan terhadap beberapa mayat menunjukkan tentera pendudukan mencuri organ daripada sebahagian mayat-mayat tersebut,” lapor agensi berita rasmi Palestin WAFA.











