WASHINGTON: Sepasang suami isteri di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan menggunakan najis sendiri sebagai sumber biogas untuk memasak makanan mereka.
John dan isterinya, Fin yang menetap di rumah seluas 500 kaki persegi di luar bandar Georgia selama 12 tahun, berbuat demikian kerana menganggap langkah itu membantu memelihara alam sekitar.
Lapor New York Post, pasangan suami isteri itu mengitar semula najis mereka secara bersih melalui peralatan mesra alam yang dikenali sebagai HomeBiogas Digester.
“Kami menukar najis sendiri menjadi gas memasak,” kata John yang menggunakan akaun @BelovedCabin di laman TikTok.
Rakaman video dimuat naik di akaun TikTok itu menerima lebih 157,000 tontonan.
Dilaporkan, biogas merupakan tenaga boleh diperbaharui atau sumber gas yang dihasilkan daripada bahan organik.
Menurut John, setelah mengepam tandas selepas menggunakannya, bahan buangan itu mengalir ke sebuah peranti khusus yang menukar najis menjadi sumber tenaga bersih secara automatik.
“Makanan kami tidak rasa seperti najis, malah dapur kami juga tidak berbau busuk,” jelasnya dalam video klip berasingan.
John juga mendakwa alat penyedut bahan buangan itu menutup bau berkenaan.
Dia berkata, peralatan itu berharga kurang daripada AS$1,500 (RM7,173), jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan AS$18,000 (RM86,081) ditanggung untuk kerja penyelenggaraan paip dalaman.
John menegaskan bahan api menggunakan najis manusia itu adalah baik untuk alam sekitar.










