Ribuan pelarian Gaza tinggalkan hospital

Ribuan pelarian Gaza tinggalkan hospital

PENDUDUK Gaza berjalan kaki membawa barangan mereka keluar dari bandar Khan Yunis.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pasukan tentera Israel terus mengepung dan membedil hospital Al-Amal dan Kamal Nasser di tengah bandar Khan Yunis, menyebabkan ratusan wanita, kanak-kanak dan warga emas terpaksa meninggalkan kemudahan itu.

Sebuah video yang dikeluarkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) menunjukkan puluhan orang membawa beberapa barangan keluar meninggalkan hospital itu dengan berjalan kaki demi mencari perlindungan yang lebih selamat.

PRCS berkata, mereka adalah antara ratusan keluarga yang melarikan diri dari hospital yang sebelum ini menjadi tempat berlindung daripada pengeboman Zionis.

Kebanyakan hospital di Gaza terpaksa menghentikan operasi susulan masalah infrastruktur serta ketiadaan ubat-ubatan dan peralatan yang mencukupi.

Sejak dua minggu lalu, kereta kebal Israel bergerak memasuki Khan Yunis, bandar utama di selatan Gaza yang menempatkan ratusan ribu pelarian dari kawasan lain.

Dron Israel dilihat melepaskan puluhan tembakan ke arah penduduk di kawasan itu.

Artileri rejim Zionis turut dilaporkan mengebom pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza terutamanya bandar Deir al-Balah dan Khan Yunis, masing-masing di tengah dan selatan Gaza.

Agensi berita rasmi Palestin WAFA memetik sumber tempatan melaporkan, kawasan yang paling banyak disasarkan termasuk kawasan kejiranan Al-Amal, Al-Katiba, Sheikh Nasser, dan Al-Qaizan, selain kawasan selatan menuju ke bandar Rafah.

Kapal perang Israel juga melepaskan tembakan mesingan berat ke arah pantai Gaza City dan menyasarkan kem Nuseirat dengan beberapa peluru meriam.

“Pasukan yang beroperasi di bawah bahagian itu menghalang Hamas daripada membina semula keupayaannya,” kata Komander Divisyen ke-162 Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Itzik Cohen.

Ahad lalu, sekurang-kurangnya 20 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas Rafah, sebuah bandar yang sebelum ini ditetapkan sebagai zon selamat oleh tentera Israel.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, jumlah kematian di wilayah terkepung itu kini mencecah lebih 27,478 orang dengan 66,835 lagi cedera.

Ketika pengantara Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) sedang menunggu jawapan Hamas berhubung tawaran gencatan senjata dan pembebasan tebusan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu parti sayap kanannya, Likud bahawa perang tidak akan berakhir.

“Matlamat kami adalah kemenangan sepenuhnya ke atas Hamas. Kami akan membunuh kepemimpinan Hamas. Oleh itu, kami mesti terus bertindak di semua kawasan di Semenanjung Gaza,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×