JAKARTA: Calon presiden dan naib presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka meraih kemenangan di pusat mengundi di kampung Sumber di Solo, Jawa Tengah.
Pilihan raya presiden (Pilpres) kali ini menyaksikan persaingan tiga penjuru antara gandingan Prabowo-Gibran, Ganjar Pranowo-Mahfud MD dan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar.
Lapor CNN Indonesia, pusat pengundi itu terletak berhampiran dengan kediaman Gibran di Jalan Kutai, daerah Banjarsari.
Dilaporkan, Presiden Joko Widodo (Jokowi) juga mempunyai kediaman tidak jauh dari pusat pengundi berkenaan.
Tinjauan mendapati kumpulan penganjur pengundian (KPPS) di pusat mengundi Sumber selesai mengira undian bagi pemilihan presiden dan naib presiden sekitar pukul 3 petang (waktu Indonesia Barat)
Data KPPS menunjukkan seramai 293 orang berdaftar sebagai pemilih di pusat pengundi Sumber.
Daripada jumlah daftar pemilih tetap (DPT), seramai 257 orang keluar mengundi.
Hasil pengiraan menunjukkan, gandingan Prabowo-Gibran mendahului dengan memperoleh 145 undi atau 49.48 peratus undi daripada keseluruhan DPT.
Ganjar dan Mahfud pula meraih sebanyak 74 undi atau merangkumi 25.25 peratus undi daripada keseluruhan DPT.
Sementara itu, pasangan calon Anies dan Muhaimin pula menduduki tempat terakhir dengan mendapat 30 undi atau 10.23 peratus undi DPT.










