ISLAMABAD: Parti pimpinan bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, Tehreek-e-Insaf (PTI) dan sekutunya memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya negara itu.
Perkara itu diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan ketika mengisytiharkan keputusan akhir dalam pengundian yang sangat sengit.
Lapor Al Jazeera, menurut suruhanjaya itu, beberapa calon bebas yang dikaitkan dengan Imran Khan memenangi kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pengundian pada 8 Februari lalu.
Ia sekaligus membantu parti PTI mendahului dengan memperoleh 97 daripada 265 kerusi.
Bagaimanapun, dengan tiada parti politik memenangi majoriti kerusi dan ramai pesaing mendakwa kewujudan penipuan undi, masa depan politik Pakistan dilihat tidak menentu.
Dilaporkan, sesebuah parti memerlukan 169 kerusi di dewan rakyat yang mempunyai 336 anggota untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Lima lagi calon bebas yang tidak disokong oleh Imran Khan turut memenangi kerusi.
Parti Liga-N Muslim Pakistan (PML-N) pimpinan Nawaz Sharif pula memperoleh sebanyak 76 kerusi.
Parti Rakyat Pakistan yang memenangi 54 kerusi dikatakan bakal menjadi kingmaker.
Bagaimanapun, beberapa parti kecil juga memenangi kerusi yang bermakna kemungkinan perundingan rumit untuk membentuk kerajaan.
Parti Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM) yang berpangkalan di Karachi membuat comeback mengejutkan dengan memenangi 17 kerusi, dengan beberapa yang lain meraih gabungan 20 kerusi.
Beberapa keputusan ditangguhkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya berikutan perintah penangguhan dikeluarkan oleh mahkamah.










