Pelarian Rafah letih berpindah, redha hadapi kematian

Pelarian Rafah letih berpindah, reda hadapi kematian

PENUNJUK perasaan menyertai protes anjuran aktivis sayap kiri Israel menentang operasi darat Rafah di luar pangkalan tentera Kirya di Tel Aviv.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kira-kira 1.5 juta pelarian Palestin yang terpaksa tinggal berhimpit-himpit di Rafah di selatan Semenanjung Gaza sudah terlalu lelah untuk berpindah dan kini reda menunggu kematian ketika Israel bertegas meneruskan serangan di bandar kecil itu.

Israel menetapkan Rafah sebagai zon selamat tetapi kini mengancam pencerobohan darat, menyebabkan ramai terperangkap dan hidup dalam ketakutan kerana sudah tiada lagi tempat perlindungan lain untuk dituju.

Walaupun menerima kecaman antarabangsa, Perdana Menteri, Israel Benjamin Netanyahu tetap bertekad meneruskan serangan di bandar sempadan Mesir itu demi melunaskan misinya menghapuskan Hamas.

Seorang penduduk, Umm al-Abed Fayyad berkata, dia dan keluarganya sudah dipindahkan sebanyak empat kali selepas kawasan utara dan tengah Gaza dikepung tentera Israel.

“Kami berada di kawasan berbeza setiap bulan. Tempat terakhir kami berada di Khan Younis, dan kini kami berada di Rafah,” jelasnya kepada wartawan Al Jazeera.

Apabila ditanya bagaimana perasaannya tentang pencerobohan Israel di Rafah, Umm berkata, dia  sudah buntu dan kini hanya berserah pada Tuhan tentang nasib diri dan keluarganya.

“Orang Israel ada di mana-mana. Ke mana kita hendak pergi? Kami dan orang di sekeliling kini kelaparan dan sudah tidak berdaya lagi untuk berpindah.

“Tidak kira betapa mereka mengancam, kami bertekad tidak akan bergerak lagi, dan Insya-Allah, kami akan menang. Kami akan tabah dan bersabar,” katanya.

Seorang lagi warga Palestin, Asaad Hassan yang dipindahkan dari Gaza City ke Rafah kini sudah terlantar sakit dan hanya berdoa pencerobohan dihentikan segera agar dia dapat pulang ke rumahnya.

“Kami tidak mempunyai tempat lain selain ke kubur jika mereka melaksanakan ancaman untuk menyerang Rafah,” katanya.

Seorang doktor, Mohammed Madi, yang  dipindahkan beberapa kali sejak rumahnya di Gaza City musnah, menyifatkan serangan di Rafah akan memburukkan lagi bencana kemanusiaan di wilayah terkepung itu.

“Kami tidak akan meninggalkan Rafah kerana hampir semua bandar di Gaza sudah musnah. Saya tetap akan mati jika saya keluar dari sini.

“Kami menyeru negara-negara Arab untuk mengambil keputusan tegas menamatkan perang genosid terhadap Gaza ini,” katanya.

Wartawann, Alaa Salameh, seorang penduduk Rafah yang membuat liputan mengenai perang di seluruh Semenanjung Gaza menegaskan akan tetap melaporkan perkembangan terkini dari bandar itu walaupun berdepan ancaman Israel.

“Tentera Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di seluruh Semenanjung Gaza. Tentera penjajah langsung tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa. 

“Jika mereka menyerang Rafah, jelas sekali tidak akan ada tempat yang selamat lagi untuk penduduk. Perlu ada tekanan global untuk mengelakkan potensi jenayah ini daripada berlaku,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×