Pekerja nekad berhenti, cuti tahunan dibeku saat akhir

Pekerja nekad berhenti, cuti tahunan dibeku saat akhir

TANGKAP layar video dimuat naik Michael Sanz memaparkan perbualan seorang pekerja Australia dengan majikannya.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Seorang lelaki Australia mengambil keputusan berhenti kerja selepas menerima mesej teks keterlaluan daripada majikannya yang membekukan cuti tahunannya pada saat-saat akhir.

Lapor NDTV, perbualan antara pekerja dikenali sebagai Noel dan majikannya, Nick tular selepas dimuat naik Pakar Sumber Manusia, Michael Sanz yang terkenal dengan perkongsian kisah benar tentang pengalaman buruk di pejabat.

Menurut Sanz, Noel awalnya diberitahu ada rakan sekerjanya meletak jawatan.

Situasi itu menyebabkan semua cuti tahunan Noel yang sudah diluluskan terpaksa dibatalkan sehingga pihak pengurusan dapat mencari pengganti rakannya itu.

“Kita terpaksa bekerja dan bertahan untuk beberapa bulan. Saya sudah berunding dengan jabatan sumber manusia dan situasi kini berubah untuk anda. Kami menghargai pemahaman anda,” tulis Nick.

Noel kemudian membalas mesej tersebut mengatakan sangat kecewa dengan keadaan itu, tetapi tidak boleh membatalkan cutinya kerana sudah menempah tiket untuk keluarganya ke Bali bagi menghadiri majlis perkahwinan abangnya.

“Saya sudah memohon cuti dan membuat tempahan sejak tujuh bulan lalu, jadi membatalkannya bukan satu pilihan. Saya boleh membantu dengan tugasan tambahan tetapi tidak boleh menukar tarikh cuti itu. Saya juga tidak mengambil cuti tahunan sejak tiga tahun lalu,” jelas Noel.

Nick kemudian bertegas meminta Noel mengurangkan cutinya daripada tiga minggu kepada tiga hari dan sempat mempersendakan lokasi percutian pekerja itu.

“Tidak pasti apa yang boleh anda lakukan selama tiga minggu di Bali. Kawan, cuti anda dibatalkan, tolong faham kami tidak boleh melakukannya. Saya minta maaf,” tulisnya.

Jawapan diberikan Nick itu membuatkan Noel berang dan terus memberitahu majikannya yang dia tidak akan kembali lagi bekerja di syarikat itu.

Dalam perkongsian di laman TikTok, Sanz memuji Noel kerana berpendapat tiada pekerja yang perlu mewajarkan keputusan untuk menghabiskan cuti tahunan mereka selepas banyak berkorban kepada syarikat.

Sejak disiarkan, video itu mendapat lebih 667,000 tontonan dan ribuan komen dari seluruh Australia, United Kingdom (UK), New Zealand dan Amerika Syarikat (AS) yang berkongsi pengalaman serupa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN