THE HAGUE: Sekumpulan peguam dari Algeria bertindak memfailkan tuntutan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap pegawai Israel yang `terlibat dalam genosid atau pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin’.
Menurut Algerian National Union of Bar Associations, tuntutan mahkamah itu turut ditandatangani oleh persatuan peguam Tunisia, Jordan, Mauritania dan Palestin.
Jelasnya, tuntutan mahkamah itu berdasarkan dokumentasi yang dikumpulkan daripada sumber sahih.
Malah, kata persatuan peguam itu, ia turut merangkumi gambar dan rakaman video yang mendedahkan perbuatan jenayah Israel di Semenanjung Gaza.
Ia termasuk dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kumpulan antarabangsa dan perintah terbaharu daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengesahkan bukti munasabah berhubung jenayah genosid di Gaza.
Pada 26 Januari lalu, Mahkamah agensi PBB mendapati dakwaan Afrika Selatan bahawa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai adalah munasabah.
Mahkamah mengeluarkan perintah sementara menggesa Israel berhenti menghalang penghantaran bekalan bantuan ke Gaza serta memulihkan krisis kemanusiaan di wilayah dilanda konflik.
Kenyataan itu memaklumkan sebuah pasukan antarabangsa diwujudkan untuk memantau perbuatan jenayah Israel di Semenanjung Gaza.
Israel melancarkan serangan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu sehingga lebih 27,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 66,000 lagi cedera.
Menurut laporan PBB, serangan Israel menyebabkan hampir 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah krisis kekurangan makanan, bekalan air bersih dan ubat-ubatan.
Malah, jelas laporan itu, kira-kira 60 peratus infrastruktur di enklaf dilaporkan rosak atau musnah akibat serangan berterusan Israel. – AGENSI










