NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengumumkan penubuhan panel bebas bagi menilai operasi agensi yang ditugaskan untuk membantu pelarian Palestin.
Perkara itu dibuat susulan dakwaan bahawa 12 kakitangan agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) terbabit dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.
Tuduhan itu menyaksikan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman, Britain dan Sweden menggantung pembiayaan kepada agensi berkenaan.
PBB dalam satu kenyataan berkata, panel bebas baharu itu akan diketuai bekas Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna yang bakal bekerjasama dengan tiga organisasi penyelidikan Eropah.
Organisasi tersebut melibatkan Institut Raoul Wallenberg Sweden, Institut Michelsen di Norway dan Institut Hak Asasi Manusia Denmark.
Matlamat semakan bebas itu bertujuan menilai keupayaan UNRWA melakukan segala usaha dalam kuasanya untuk bersikap berkecuali selain bertindak balas terhadap pelanggaran serius yang didakwa Israel.
Guterres berkata, semakan bebas itu akan dilakukan bersama siasatan yang sedang dijalankan oleh Pejabat Perkhidmatan Pengawasan Dalaman PBB.
Panel itu akan menyerahkan laporan interim kepada Guterres akhir Mac ini dan kemudian laporan akhir pada hujung April bersama cadangan penambahbaikan serta pengukuhan mekanisme agensi itu.
“Kami berharap penderma mengambil perhatian yang jelas mengenai tindakan pantas diambil oleh Guterres untuk menangani isu-isu yang mungkin wujud,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.
Jelas Dujarric, UNRWA perlu berfungsi secepat mungkin kerana badan itu sedang menyalurkan bantuan kepada lebih dua juta rakyat Palestin yang kebuluran akibat serangan kejam Israel.
Dalam pada itu, Sepanyol mengumumkan akan memberi tambahan bantuan berjumlah 3.5 juta euro (RM18.09 juta) kepada UNRWA yang menghadapi krisis tunai selepas beberapa negara menggantung pembiayaan mereka.
UNRWA yang menerima pencalonan Norway untuk Hadiah Keamanan Nobel memberi amaran terpaksa menghentikan operasi pada akhir bulan ini jika pembiayaan ditarik dengan ketara.
“Sepanyol akan mengeluarkan dana segera sebanyak 3.5 juta euro supaya UNRWA dapat mengekalkan aktivitinya dalam jangka pendek.
“Keadaan UNRWA terdesak dan terdapat risiko serius bahawa aktiviti kemanusiaannya akan lumpuh di Gaza dalam masa beberapa minggu,” kata Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares kepada jawatankuasa Parlimen.
Ahad lalu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell berkata, jumlah dana yang digantung pada masa ini berjumlah lebih AS$440 juta (RM2.9 bilion) atau kira-kira separuh daripada jangkaan dana agensi itu untuk 2024.-AFP










