Mimpi ngeri remaja Gaza kudung kaki dibom Israel

Mimpi ngeri remaja Gaza kudung kaki dibom Israel

AHED adalah salah seorang daripada beribu-ribu rakyat Palestin yang mengalami kecederaan teruk akibat dibom Israel. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tiada siapa yang mampu berdepan mimpi ngeri seperti dialami Ahed Bseiso ketika dia terpaksa menjalani prosedur yang menyakitkan dan traumatik di atas meja makan di rumahnya berikutan serangan Israel.

“Apa yang saya dapat lihat hanyalah kabus putih. Untuk sesaat, saya fikir saya sudah mati,” kata Ahed kepada Al Jazeera, mengimbas kembali peristiwa 19 Disember lalu.

Pelajar universiti berusia 17 tahun itu dan kakaknya Mona naik ke tingkat enam bangunan kediaman mereka apabila lokasi itu menjadi sasaran serangan kejam rejim Zionis.

Mereka pergi ke sana untuk menghubungi bapa mereka yang tinggal di luar negara selepas pemadaman telekomunikasi berulang kali menyebabkan penduduk perlu memanjat bumbung untuk mendapatkan isyarat jelas talian telefon.

Ahed berkata, dia melihat kereta kebal Israel yang luar biasa besar di luar bangunan itu, tetapi tidak terlalu memikirkannya sehinggalah mereka tiba-tiba dibedil. 

“Saya sedang bersilang kaki dan tiba-tiba, saya terbalik dan terjatuh,” katanya.

Ahed menyedari hampir keseluruhan betis kanannya hancur dan dia mengalami pendarahan yang banyak.

Sepupu lelaki Ahed yang kebetulan berada di situ bergegas membantu Mona membawanya ke bawah dan dia masih ingat bagaimana dia menjerit bertanya kepada mereka  keadaan kakinya.

“Apa yang dilakukan oleh sepupu saya ialah menutup mata saya,” katanya.

Satu-satunya tempat mereka boleh meletakkan Ahed adalah di atas meja makan, di mana ibunya menguli doh roti sebelum itu.

Seseorang berlari mendapatkan bapa saudaranya, Hani, seorang pakar ortopedik dan satu-satunya doktor dalam kalangan 30 saudara mara yang tinggal di bangunan keluarga itu.

Lelaki itu menyedari dia perlu menyelamatkan anak saudaranya itu,tanpa bekalan perubatan, bius, atau kain kasa bersih.

“Pilihan yang sukar, tetapi jelas saya terpaksa memotong bahagian bawah kaki yang tertinggal dan segera menjahit arteri supaya Ahed tidak mati akibat pendarahan.

“Saya tidak mempunyai apa-apa. Saya ingat beg bimbit saya ada di dalam bilik tetapi tiada apa-apa di dalamnya kecuali kain kasa yang tidak disterilkan.

“Kemudahan perubatan terbesar di Gaza, Hospital al-Shifa, berada lima minit perjalanan dengan kereta tetapi  tidak dapat dihubungi dan tidak beroperasi akibat pertempuran,” jelasnya.

Hani melihat sekeliling bilik itu dengan terdesak, mencari apa sahaja untuk membuat proses yang mengerikan itu lebih mudah dikendalikan tetapi hanya mampu menemukan span dan bekas berisi sabun pinggan mangkuk di singki dapur.

“Saya mula membersihkan luka itu tetapi merasakan mata Ahed menjeling saya. Dia merayu saya supaya tidak memotong seluruh kakinya,” kata Hani.

Hatinya sebak dan air mata mencurah-curah, mengetahui apa yang dia perlu lakukan semasa Ahed sedar sepenuhnya.

“Saya tertanya-tanya siapakah orang yang boleh menanggung kesakitan akibat pemotongan tanpa bius,” kata Hani.

Lelaki itu akhirnya membedah anak saudaranya dengan pisau dapur dan menggunakan jarum dan benang dari kit jahitan untuk mencantumkan arteri terbesar pada kaki Ahed.

Ketika ditanya bagaimana dia mampu menanggung kesakitan, Ahed berkata, perasaan tenang yang pelik menguasai diri.

“Saya hanya membaca ayat-ayat al-Quran sepanjang masa,” katanya.

Mengetahui Ahed terdedah kepada jangkitan, Hani berkata, dia mengambil setiap pil antibiotik dan ubat penahan sakit di rumah, mencampurkannya sebelum memberikannya kepada anak saudaranya itu ketika perut kosong  kerana ketiadaan makanan.

Lima hari kemudian Hani dapat memindahkan Ahed ke kemudahan perubatan dan remaja itu menjalani beberapa pembedahan termasuk satu pembedahan untuk membaiki kaki kirinya yang patah.

“Dia memerlukan lebih banyak lagi  pembedahan pembaikan kosmetik untuk kakinya yang dipotong termasuk anggota tiruan tetapi jelas segala bantuan itu sukar diperolehi kini.

“Saya boleh pergi bersama isteri dan anak-anak saya, tetapi Tuhan tetapkan saya tinggal supaya Ahed boleh hidup,” katanya.

Menurut pakar ortopedik yang berkhidmat dengan Doctors Without Borders, paramedik di Gaza kini hanya bergantung kepada penahan sakit seperti paracetamol walaupun ketika melakukan pembedahan besar ekoran kekurangan bekalan ubat anestesia.

“Pesakit menjalani amputasi traumatik setiap hari, kebanyakannya adalah kanak-kanak.

“Apabila hospital mempunyai kemasukan pesakit, mereka perlu  menunggu berjam-jam untuk pergi ke dewan bedah.

“Keadaan menjadikan usaha menyelamatkan anggota badan yang parah sangat mustahil dan amputasi menjadi satu-satunya rawatan yang dapat menyelamatkan nyawa pesakit,” kata badan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×