Mesir bina penempatan bertembok di Sinai untuk penduduk Gaza?

Mesir bina penempatan bertembok di Sinai untuk penduduk Gaza?

IMEJ satelit dirakam pada Khamis lalu menunjukkan jentera membina tembok di sepanjang sempadan Mesir-Gaza di Rafah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Kerajaan Mesir didakwa sedang membina kem penempatan bertembok di Semenanjung Sinai untuk menerima rakyat Palestin dari Gaza yang kehilangan tempat tinggal.

Perkara itu dilaporkan media Amerika Syarikat (AS) dan badan pemantau hak asasi manusia Mesir.

Bagaimanapun Israel mendakwa pihaknya tidak bercadang untuk memindahkan penduduk ke sana ketika pasukan tenteranya sedang bersiap sedia melancarkan operasi darat di Rafah, selatan Gaza.

Berdasarkan laporan The Wall Street Journal, `kawasan bertembok’ seluas 21 kilometer persegi sedang dalam pembinaan di sebelah sempadan Mesir.

Jelas laporan itu, pembangunan itu adalah sebahagian `pelan kontigensi’ jika rundingan gencatan senjata di Kaherah gagal.

Malah, menurut laporan itu, kem penempatan bertembok itu mampu menampung lebih 100,000 orang.

Yayasan Hak Asasi Manusia Sinai baru-baru ini mengeluarkan laporan yang mendedahkan kerja-kerja pembinaan kem penempatan bertembok untuk menerima penduduk Palestin secara pemindahan besar-besaran.

Katanya, dua kontraktor memaklumkan syarikat pembinaannya ditugaskan untuk membina kawasan berpagar yang dikelilingi tembok setinggi tujuh meter.

Jelasnya, tapak itu terletak di atas runtuhan rumah penduduk Mesir yang dirobohkan semasa perang negara itu menentang kumpulan Islam di utara Sinai sedekad lalu.

Dalam pada itu, beberapa sumber di Sinai mendakwa kawasan itu sedang disediakan sekiranya berlaku pelanggaran sempadan Gaza.

“Kawasan itu akan disediakan dengan khemah dan bantuan kemanusiaan akan dihantar,” katanya.

AFP meneliti beberapa imej satelit diambil di lokasi terletak di utara Sinai yang menunjukkan jentera sedang membangunkan tembok di sepanjang sempadan Mesir-Gaza.

Perbandingan dibuat antara imej dirakam pada 10 Februari dan 15 Februari yang menunjukkan sebahagian besar tanah sudah ditarah.

Sementara itu, Gabenor Sinai Utara, Mohamed Shousha menafikan dakwaan Mesir sedang menyediakan `kawasan terpencil di Sinai’ untuk menerima penduduk Palestin.

“Kerja pembinaan itu adalah untuk menilai kemusnahan rumah ketika pergolakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bagi tujuan membayar pampasan sewajarnya kepada pemilik,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×