LONDON: Satu kajian mendedahkan pengambilan buah kiwi mampu meningkatkan kesihatan mental dengan merangsang mood yang positif dalam tempoh empat hari.
Lapor Daily Mail, buah berbulu halus itu sememangnya mempunyai nilai nutrisi yang tinggi dan baik untuk kesihatan.
Malah, kiwi yang kaya dengan vitamin C, sudah lama diketahui dapat meningkatkan kesejahteraan.
Para penyelidik kini percaya buah itu dapat memberikan rangsangan dengan lebih cepat dan tahan lama berbanding suplemen vitamin C.
Pasukan penyelidik dari Universiti Otago, New Zealand menjalankan intervensi pemakanan selama lapan minggu membabitkan seramai 155 orang dewasa yang kekurangan vitamin C.
Para peserta dikehendaki mengambil sama ada suplemen vitamin C, plasebo atau dua buah kiwi setiap hari dan kemudian melaporkan tahap kecergasan, mood, kualiti tidur dan aktiviti fizikal melalui kaji selidik telefon pintar.
Hasil kajian menunjukkan buah kiwi meningkatkan kecergasan dan mood individu dalam tempoh empat hari.
Malah, kesan rangsangan memuncak pada kira-kira 14 hingga 16 hari.
Suplemen vitamin C pula sedikit meningkatkan kesihatan mental sehingga hari ke-12.
“Ini membantu kami menilai makanan apa yang boleh memberi kesan agak cepat pada kesejahteraan dan emosi individu,” kata ketua kajian, Dr. Ben Fletcher.
Dilaporkan, kajian mengenai buah kiwi itu diterbitkan dalam British Journal of Nutrition.










