LA PARAGUA: Sekurang-kurangnya 16 orang maut selepas sebuah lombong emas haram runtuh di hutan terpencil, selatan Venezuela.
Perkara itu dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang menyemak semula angka kematian mangsa.
Insiden itu berlaku di lombong `Bulla loca’ yang terletak di negeri Bolivar.
Perjalanan ke lokasi itu mengambil masa selama tujuh jam dari bandar La Paragua dengan menggunakan bot.
Terdahulu, pegawai memberikan angka kematian mangsa yang lain.
Setiausaha Keselamatan Bolivar, Edgar Colina Reyes mengesahkan seramai 16 orang maut.
Dalam pada itu, Presiden Nicolas Maduro memaklumkan sekurang-kurangnya 11 orang cedera dalam kejadian itu.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terlibat dalam insiden ini,” kata Maduro menerusi siaran televisyen.
Awal pagi tadi, Datuk Bandar Angostura, Yorgi Arciniega memaklumkan kira-kira 23 mayat ditemukan oleh pasukan penyelamat.
Katanya, jumlah itu termasuk 15 mayat yang dibawa dengan bot di La Paragua dan kira-kira lapan lagi dalam perjalanan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Awam, Carlos Perez Ampueda memuat naik video kejadian itu di aplikasi X.
Jelas beliau, kejadian itu membabitkan jumlah mangsa yang ramai namun tidak memberikan bilangan yang tepat.
Menurut pegawai, kira-kira 200 orang dipercayai bekerja di lombong itu.
Video itu menunjukkan puluhan orang bekerja di lombong itu semasa insiden tersebut berlaku.
Rakaman itu memaparkan ada individu berjaya menyelamatkan diri manakala yang lain tertimbus. – AFP










