LONDON: Sebiji buah lemon yang dipercayai berusia 285 tahun berjaya dijual pada harga AS$1,780 (RM8,418) dalam satu acara lelongan yang berlangsung di England.
Lapor UPI News, buah lemon itu ditemukan di bahagian belakang laci sebuah kabinet lama.
Menurut firma Brettells Auctioneers, sebuah keluarga membawa kabinet abad ke-19 itu ke premis lelongannya yang terletak di Shropshire.
Jelas firma lelongan itu, keluarga tersebut mendakwa kabinet berkenaan adalah milik bapa saudara mereka yang sudah meninggal dunia.
“Ketika pekerja kami sedang mengambil gambar kabinet untuk dijual itu, dia menemukan buah lemon lama di belakang laci.
“Tertera mesej `diberikan oleh P Lu Franchini pada 4 November 1739 kepada E Baxter’ pada kulit luar buah tersebut,” jelasnya.
Firma lelongan itu kemudian memutuskan untuk melelong buah lemon tersebut.
“Kami terkejut apabila buah lemon itu memperoleh bidaan tinggi sebanyak AS$1,780 (RM8,418).
“Kabinet itu pula dijual pada harga AS$40 (RM189.17) sahaja,” jelas firma tersebut.










