HYDERABAD: Seorang lelaki dari Hyderabad, India dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani pembedahan untuk memperbaiki senyuman menjelang hari perkahwinannya.
Lapor NDTV, menurut polis, Laxmi Narayana Vinjam, 28, meninggal dunia semasa menjalani prosedur `reka bentuk senyuman’ di Klinik Pergigian Antarabangsa FMS di Jubilee Hills pada 16 Februari lalu.
Bapa mangsa, Ramalu Vinjam mendakwa anaknya meninggal dunia akibat diberi ubat bius yang berlebihan.
Menurut Ramalu, kakitangan klinik menghubungi dan memintanya datang segera selepas anaknya pengsan semasa menjalani prosedur tersebut.
“Kami bergegas membawa Laxmi Narayana ke hospital berdekatan namun doktor mengesahkan anak saya meninggal dunia sebaik tiba di pusat perubatan,” katanya.
Jelas Ramalu, anaknya tidak memaklumkan kepadanya mengenai pembedahan berkenaan.
“Setahu saya, anak saya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, jadi doktor melakukan pembedahan itu bertanggungjawab atas kematiannya,” kata Ramalu.
Sementara itu, pegawai balai polis Jubilee Hills, K. Venkateshwar Reddy berkata, mangsa mengunjungi klinik tersebut kira-kira pukul 2.30 petang (waktu tempatan) pada 16 Februari lalu.
“Sekitar pukul 4.30 petang, Laxmi Narayana dibawa masuk ke dewan bedah dan prosedur berlangsung hampir dua jam.
“Beberapa jam kemudian kakitangan menghubungi bapa Laxmi Narayana dan mangsa dikejarkan ke Hospital Apollo di Jubilee Hills yang mana dia diisytiharkan meninggal dunia,” katanya.
Tambah Venkateshwar, mayat mangsa dihantar ke unit forensik hospital untuk bedah siasat.
Jelasnya, lelaki itu sudah bertunang seminggu lalu dan bakal melangsungkan perkahwinan bulan depan.
Menurut beliau, kes difailkan terhadap pengurusan klinik itu atas tuduhan melakukan kecuaian selepas keluarga mangsa memfailkan aduan.
“Kami sedang memeriksa rekod klinik dan rakaman kamera keselamatan,” katanya.










