GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di Rafah, selatan Gaza sebelum waktu subuh hari ini.
Perkara ini dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan oleh Hamas.
Wartawan AFP dan beberapa saksi mendengar siri serangan yang sengit dan menyaksikan kepulan asap menyelubungi ruang udara di bandar yang kini menempatkan lebih separuh jumlah penduduk Gaza selepas menyelamat diri daripada pengeboman di kawasan lain di Semenanjung Gaza.
Jelas kementerian, serangan udara itu memusnahkan 14 rumah dan tiga masjid yang terletak di beberapa kawasan di Rafah.
Tentera Israel menerusi kenyataan memaklumkan pasukannya menjalankan beberapa siri serangan menyasarkan kumpulan pejuang di kawasan Shaboura, selatan Gaza.
Bagaimanapun, jelas kenyataan, serangan itu sudah berakhir.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan pasukan tenteranya bersiap sedia untuk melancarkan serangan darat di Rafah.
Kira-kira 1.4 juta penduduk Palestin membanjiri Rafah, dengan ramai yang tinggal di dalam khemah manakala bekalan makanan, air dan ubat-ubatan semakin berkurangan. – AFP










