Kerajaan Korea Selatan arahkan doktor mogok kembali bekerja

Kerajaan Korea Selatan arahkan doktor mogok kembali bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan mengarahkan doktor pelatih yang meletakkan jawatan secara beramai-ramai untuk kembali bekerja.

Peletakan jawatan itu dibuat sebagai bantahan terhadap pembaharuan latihan perubatan ketika kerajaan merancang menggunakan doktor tentera untuk mengatasi kekurangan.   

Korea Selatan mengakui negaranya mempunyai nisbah doktor paling rendah dalam kalangan negara maju dan kerajaan sedang berusaha untuk menambah bilangan golongan itu bagi membantu masyarakat.

Bagaimanapun, doktor menyuarakan bantahan terhadap rancangan kerajaan meningkatkan bilangan kemasukan pelajar ke sekolah perubatan secara mendadak, dengan mendakwa akan menjejaskan kualiti penyediaan perkhidmatan.

Para pengkritik berkata, doktor bimbang dengan pembaharuan itu yang dikatakan boleh mengurangkan kadar gaji serta status sosial mereka.

Beratus-ratus doktor pelatih menyerahkan surat peletakan jawatan semalam meskipun kerajaan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.

Namun, Timbalan Menteri Kesihatan Kedua, Park Min-soo dalam satu sidang akhbar memaklumkan kerajaan sudah `mengeluarkan perintah penyelenggaraan rawatan untuk semua doktor pelatih’.

Ia merujuk kepada langkah undang-undang untuk mencegah pemberhentian kerja oleh pengamal perubatan.

Di bawah undang-undang perubatan Korea Selatan, doktor yang dianggap sebagai pekerja penting dilarang daripada melakukan pemberhentian kerja secara besar-besaran.

“Oleh itu, saya memohon doktor pelatih tidak membelakangkan pesakit,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan akan melakukan pemantauan di hospital untuk  mengesan sama ada terdapat doktor yang menyertai bantahan itu.

Polis memberi amaran bahawa mereka boleh menahan `penghasut utama’ pemberhentian kerja.

Pembaharuan latihan memerlukan peningkatan sebanyak 65 peratus dalam bilangan pelajar yang diterima masuk ke sekolah perubatan, mulai tahun 2025.

Pelan itu menerima sambutan baik dalam kalangan orang ramai yang mana pakar berpandangan penduduk sudah bosan dengan masa menunggu lama di hospital.  

Malah, tinjauan Gallup Korea baru-baru ini menunjukkan lebih 75 peratus responden menyokong tanpa mengira fahaman politik.

Namun, ia mendapat tentangan hebat daripada doktor, dengan Persatuan Perubatan Korea menyifatkan ancaman tindakan undang-undang kerajaan adalah serupa dengan `witch hunt’ dan mendakwa rancangan itu akan mewujudkan `sistem perubatan sosialis gaya Cuba’.

Dilaporkan, setakat ini, lebih 700 doktor pelatih sudah meletak jawatan.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan memaklumkan pihaknya akan membuka wad kecemasan hospital tentera kepada orang ramai sekiranya doktor meneruskan bantahan itu.

Jelas kementerian, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk menghantar doktor tentera ke hospital awam bagi membantu menampung kekurangan itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN