Kematian Navalny: AS kenakan `sekatan besar' terhadap Russia

Kematian Navalny: AS bakal kenakan `sekatan besar’ terhadap Russia

ORANG ramai protes di luar kedutaan Russia di Prague susulan kematian Alexei Navalny. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mengumumkan pakej sekatan yang besar terhadap Russia atas kematian ketua pembangkang republik itu, Alexei Navalny dan peperangan di Ukraine.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden AS, Joe Biden kepada pemberita sebelum berlepas ke California.

Bagaimanapun, pemimpin tertinggi AS itu tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai sekatan tersebut.

Dalam pada itu, Penasihat Keselamatan Negara White House, Jake Sullivan berkata, sekatan terbaharu yang bakal dikenakan ke atas Russia akan merangkumi pelbagai perkara.

Katanya, ia antara lain menyasarkan pangkalan pertahanan dan perindustrian negara serta sumber pendapatan ekonomi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby menegaskan pakej sekatan bakal dikenakan itu akan `mengheret Russia bertanggungjawab ke atas apa berlaku kepada Navalny dan tindakannya sepanjang perang di Ukraine’.            

Seorang pegawai kanan AS mendakwa pakej sekatan itu sudah pun dirancang, sempena ulang tahun kedua perang Ukraine, yang mana Washington kini akan pertimbangkan semula dan menambahnya sebagai tindak balas kepada kematian Navalny.

Dua sumber memaklumkan Setiausaha Perbendaharaan Perisikan Kewangan dan Keganasan, Brian Nelson sedang membincangkan pelaksanaan sekatan susulan kematian Navalny dalam lawatannya ke beberapa negara Eropah pada minggu ini.

Menurut pejabat Perbendaharaan, Nelson juga membincangkan kuasa Washington untuk menyasarkan pihak yang membiayai usaha perang Russia walaupun berada di negara ketiga.    

AS pernah mengenakan pelbagai sekatan berhubung pencerobohan Russia di Ukraine, termasuk ke atas Presiden Vladimir Putin, pegawai dan bank.

Malah, Washington juga sebelum ini mengenakan sekatan berkaitan kes keracunan dan tindakan penjara Navalny, dengan menyasarkan pihak yang dikaitkan dengan Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) Russia dan pegawai lain. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN