Kanak-kanak Gaza maut jamah roti beracun

Kanak-kanak Gaza maut jamah roti beracun

IBU Khaled memeluk anaknya yang meninggal dunia akibat memakan roti beracun di utara Gaza.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Roti diperbuat daripada makanan haiwan merupakan pilihan terakhir kebanyakan penduduk Gaza untuk mengalas perut namun menjadi racun kepada segelintir kanak-kanak terutama yang masih kecil hingga menyebabkan kematian.

Nasib malang dilaporkan menimpa seorang kanak-kanak berusia dua tahun dikenali sebagai Khaled yang meninggal dunia selepas makan roti diperbuat daripada bancuhan makanan haiwan.

Menurut neneknya, Ibtisam Al Kahlout, kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital apabila bibirnya kebiruan sejurus menjamah roti tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ibtisam berkata, doktor memaklumkan cucunya mengalami keracunan akibat memakan roti yang diperbuat daripada makanan haiwan dan barli.

Beberapa kanak-kanak lain yang lebih besar turut mengalami keracunan dan muntah-muntah selepas makan roti tersebut tetapi dilaporkan stabil.

“Bagi kanak-kanak lebih kecil mereka tidak dapat bertahan dan keadaan menjadi lebih buruk apabila roti yang sepatutnya menjadi alas perut dan dilihat selamat untuk mengelakkan mereka daripada kelaparan bertukar menjadi racun hingga membunuh mereka,” katanya, dipetik Al Jazeera.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra menggesa agensi antarabangsa untuk segera menghantar bantuan makanan dan air minuman bersih di seluruh wilayah terkepung itu bagi mengelakkan malapetaka kemanusiaan yang lebih parah

“Kebuluran yang semakin memuncak ini boleh membunuh beribu-ribu lagi rakyat akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi pada hari-hari mendatang di hadapan mata dunia,” katanya.

Bagaimanapun Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata, agensi-agensi kemanusiaan dihalang akses ke utara dan selatan Gaza dengan konvoi bantuan kerap diserang tentera rejim Zionis.

Pegawai kanan bantuan kemanusiaan PBB berkata, satu perempat daripada penduduk Gaza yang dianggarkan berjumlah lebih 576,000 orang kini hanya selangkah daripada masalah kebuluran.

Jelasnya, selain menyekat bekalan makanan, tentera Israel juga turut menghalang konvoi penghantaran perubatan di Khan Younis di selatan Gaza.

Rejim Zionis didakwa menahan seorang paramedik dan memaksa yang lain menanggalkan pakaian ketika pemindahan 24 pesakit dari Hospital Al-Amal di bandar berkenaan.

Menurut agensi bantuan dan pegawai Palestin, kawasan kompleks hospital berkenaan dikepung ketika serangan tentera Israel terhadap Hamas di Gaza.

Jurucakap OCHA, Jens Laerke berkata, penyelarasan sudah dibuat awal dengan Israel namun tenteranya tetap menyekat konvoi yang diketuai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selama berjam-jam sebaik mereka meninggalkan hospital.

“Tentera Israel memaksa pesakit dan kakitangan keluar dari ambulans dan mengarahkan semua paramedik untuk menanggalkan pakaian mereka.

“Tiga paramedik Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin kemudiannya ditahan, walaupun butiran peribadi mereka dikongsi dengan tentera Israel terlebih dahulu.

“Seorang paramedik kemudian dibebaskan dan merayu agar dua yang lain dan semua anggota kesihatan yang ditahan turut dibebaskan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×