India haramkan gula-gula kapas cetus risiko kanser

India haramkan gula-gula kapas cetus risiko kanser

GULA-gula kapas banyak dijual di tepi pantai dan taman di India.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Beberapa negeri di India mengharamkan penjualan gula-gula kapas berwarna merah jambu selepas beberapa ujian makmal mendapati bahan yang digunakan dalam pembuatannya boleh meningkatkan risiko kanser. 

Minggu lalu, negeri selatan Tamil Nadu melaksanakan larangan itu selepas ujian makmal mengesahkan kehadiran bahan penyebab kanser, Rhodamine-B dalam sampel yang dihantar.

Awal bulan ini, wilayah kesatuan Puducherry turut mengharamkan manisan yang menjadi kegemaran ramai kanak-kanak itu sementara negeri lain mula menghantar sampel gula-gula yang dijual di kawasan mereka untuk diuji di makmal.

Pegawai Keselamatan Makanan Chennai di Tamil Nadu, P Satheesh Kumar berkata, bahan tercemar dalam gula-gula kapas juga dikhuatiri boleh menjejaskan fungsi organ badan terutama pada anak-anak kecil.

Pasukannya menyerbu penjual gula-gula berkenaan di kawasan pantai di bandar berkenaan minggu lalu yang kebanyakannya dibuat oleh peniaga bebas dan bukannya kilang berdaftar.

“Kerajaan mengumumkan larangan penjualannya selepas ujian makmal mengesan kehadiran sebatian kimia Rhodamine-B dalam sampel yang dihantar. 

“Bahan kimia itu memberikan warna merah jambu terang dan digunakan untuk mewarnakan tekstil, kosmetik dan dakwat.

“Kajian menunjukkan bahan kimia itu boleh meningkatkan risiko kanser, malah Eropah serta California sudah mengharamkan penggunaannya sebagai pewarna makanan,” katanya kepada akhbar The Indian Express.

Menteri Kesihatan Tamil Nadu, Ma Subramanian berkata, penggunaan Rhodamine-B dalam pembungkusan, barangan import, penjualan makanan atau hidangan pada majlis perkahwinan dan acara awam lain akan dihukum di bawah Akta Keselamatan Makanan dan Piawaian 2006.

Pihak berkuasa Andhra Pradesh juga dilaporkan mula menguji sampel gula-gula kapas yang dijual di negeri itu untuk memeriksa kehadiran karsinogen.

Awal minggu ini, akhbar New India Express melaporkan pegawai keselamatan makanan di New Delhi juga mendesak larangan serupa terhadap gula-gula tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN