Houthi serang kapal kargo menuju ke Iran

Houthi serang kapal kargo menuju ke Iran

KAPAL MV Star Iris. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kumpulan Houthi yang disokong Iran melancarkan peluru berpandu menyasarkan sebuah kapal kargo di luar pantai selatan Yaman.    

Perkara itu dimaklumkan oleh Komando Pusat tentera Amerika Syarikat (Centcom) yang mengesahkan kapal kargo itu hanya mengalami kerosakan kecil dan sudah meneruskan destinasi pelabuhan di Iran.

“Kira-kira pukul 3.30 hingga 3.45 pagi (waktu tempatan), kumpulan Houthi melepaskan dua peluru berpandu dari kawasan dikuasai di Yaman ke arah Bab al-Mandeb,” jelas Centcom di aplikasi X.

Dalam pada itu, firma keselamatan, Ambrey mengesahkan kapal terbabit merupakan kapal pengangkut pukal mengibarkan bendera Kepulauan Marshall milik Greece.

Jelas firma itu, kapal tersebut menjadi sasaran peluru berpandu dalam dua kejadian berasingan dalam masa 20 minit.

Menurut Ambrey, kapal itu diserang dan bahagian kanannya mengalami kerosakan.

Tambah firma itu, pasukan keselamatan bersenjata persendirian berada di kapal berkenaan.

“Pemilik kumpulan kapal juga disenaraikan dalam indeks pasaran saham AS Nasdaq yang dikenal pasti sebagai punca serangan itu,” jelasnya.

Sementara itu, Centcom memaklumkan kapal MV Star Iris sedang melintasi Laut Merah dengan membawa muatan jagung dari Brazil.

Jelasnya, MV Star Iris mengalami kerosakan kecil dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku pada anak kapalnya.     

Tambahnya, kapal MV Star Iris dalam perjalanan menuju ke bandar Imam Khomeini di Iran.  

Kumpulan Houthi sebelum ini menyatakan melancarkan serangan menyasarkan beberapa kapal sejak November tahun lalu bagi mempamerkan solidariti mereka kepada penduduk Palestin yang terjejas akibat pengeboman berterusan rejim Zionis di Gaza.

Serangan Houthi ke atas kapal komersial di Laut Merah menyebabkan banyak syarikat perkapalan terbesar dunia mengubah laluan perjalanan sekaligus mengakibatkan gangguan kepada perdagangan global. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN