SANAA: Kumpulan Houthi di Yaman mendakwa pasukannya menyerang sebuah kapal dagang milik Amerika Syarikat (AS) di Laut Merah.
Ia merupakan serangan baharu yang menyasarkan perkapalan komersial.
Memetik laporan BBC, kumpulan Houthi mendedahkan nama kapal dagang sebagai KOI yang dikatakan dikendalikan oleh AS.
Menurut jurucakap Houthi, Yahya Sarea, pasukannya menyasarkan sebuah kapal dagang AS bernama KOI dengan beberapa peluru berpandu tentera laut.
Katanya, kapal itu sedang menuju ke `pelabuhan Palestin diduduki’, frasa yang kadang kala merujuk kepada Israel.
Tambah Yahya, Yaman tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas terhadap ketegangan AS-Britain yang semakin meningkat.
Menurut firma keselamatan maritim Ambrey, sebuah kapal yang beroperasi di pelabuhan Aden, selatan Yaman melaporkan kejadian letupan namun tidak mendedahkan nama kapal berkenaan.
Berdasarkan laporan Reuters, KOI merupakan kapal kontena membawa bendera Liberia yang dikendalikan oleh Oceonix Services yang berpangkalan di United Kingdom (UK).
Bagaimanapun, armada dari syarikat sama termasuk kapal tangki minyak Marlin Luanda dilaporkan mengalami kerosakan akibat serangan peluru berpandu pada Sabtu lalu.
Kumpulan Houthi menganggap semua kapal Israel, AS dan Britain sebagai sasaran sah berikutan perang rejim Zionis itu terhadap Gaza.
AS dan Britain pula menyasarkan kedudukan peluru berpandu Houthi yang didakwa oleh kedua-dua negara sebagai usaha untuk melindungi perdagangan.
Houthi yang disokong Iran melancarkan serangan menyasarkan beberapa kapal sejak November tahun lalu, sebagai tanda protes terhadap perang rejim Zionis di Gaza.
Sementara itu, Komando Pusat AS memaklumkan pasukannya melancarkan beberapa serangan udara baharu di Yaman, dengan menyasarkan 10 dron yang sedang bersiap sedia untuk dilancarkan.
Jelasnya, dron berkenaan menimbulkan ancaman kepada kapal dagang dan kapal perang AS di rantau tersebut.
Menurut Komando Pusat AS, kesemua 10 dron itu musnah bersama sebuah stesen kawalan darat dron Houthi.











