Dua maut kapal kargo rempuh jambatan di China

Dua maut kapal kargo rempuh jambatan di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sebuah kapal kargo merempuh jambatan di bandar Guangzhou di selatan China, menyebabkan lima kenderaan termasuk sebuah bas awam terhumban ke dalam sungai.

Menurut media kerajaan, kemalangan ngeri itu mengorbankan dua orang dan mencederakan seorang lagi manakala tiga yang lain masih hilang.

Imej yang dipaparkan saluran CCTV menunjukkan sebahagian jambatan itu runtuh dengan kapal kargo berkenaan terperangkap di bawahnya.

Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi (waktu tempatan).

Kapten kapal itu ditahan polis dan pengguna jambatan di sekitar lokasi kejadian sudah dipindahkan ke kawasan selamat.

Syarikat yang memiliki kapal itu berkata, pihaknya akan bekerjasama dalam siasatan kes tersebut.

Satu laporan memetik seorang penduduk berkata, bekalan air dan perkhidmatan internet di kawasan kejiranan berhampiran jambatan berkenaan terpaksa ditutup sementara ketika kerja-kerja pembaikan dijalankan.

Pada Oktober 2021, pihak berkuasa wilayah mengenal pasti keperluan untuk mengukuhkan jambatan itu, termasuk membina kemudahan bagi mengelak perlanggaran di empat tiang utamanya.

Namun menurut laporan CCTV, tarikh akhir untuk menyiapkan kerja-kerja tersebut sudah ditangguhkan sebanyak tiga kali, dengan yang terbaharu dilanjutkan hingga Ogos ini.

Guangzhou terletak di delta Sungai Mutiara dan salah satu daripada pelabuhan tersibuk di tanah besar China.

Daerah Nansha di mana insiden itu berlaku, adalah pelabuhan yang paling pesat berkembang di selatan China dengan jumlah kargo meningkat setiap tahun sejak dibuka pada 2004.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN