BEIJING: China mengumumkan menandatangani perjanjian baharu untuk menghantar panda ke zoo di San Diego selepas hampir semua haiwan kesayangan ramai yang dipinjamkan ke Amerika Syarikat (AS) dipulangkan ekoran ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara sejak beberapa tahun lalu.
Perkara itu disahkan oleh jurucakap kementerian luar, Mao Ning dalam taklimat akhbar Khamis lalu.
“Institusi China sudah pun menandatangani perjanjian dengan Zoo San Diego di AS. Perjanjian itu tertumpu pada pusingan baharu kerjasama dalam perlindungan panda gergasi.
“Perjanjian juga sudah ditandatangani dengan zoo di Madrid dan Beijing sedang berbincang dengan zoo di Washington dan Vienna bagi proses serupa,” katanya.
Sejak beberapa tahun lalu, China menghantar utusan haiwan gebu itu ke pelbagai negara yang dinamakan ‘diplomasi panda’ bagi meneruskan matlamat dasar luarnya.
Namun ketegangan menyebabkan hanya segelintir panda kekal di AS, dengan tiga sudah meninggalkan zoo negara di Washington pada November lalu.
Baki panda terakhir di AS yang kini berada di zoo di selatan Atlanta, dijangka pulang ke China menjelang akhir 2024.
Tetapi selepas pertemuan tahun lalu dengan Presiden AS, Joe Biden, Pemimpin China, Xi Jinping berkata, Beijing boleh menghantar panda baharu sebagai utusan persahabatan antara rakyatnya dan Washington.
White House berkata, pihaknya berbesar hati menerima kehadiran lebih banyak haiwan yang gemar mengunyah buluh itu.
“Panda gergasi adalah khazanah negara China dan sangat disayangi oleh penduduk di seluruh dunia.
“Kami menantikan pusingan baharu kerjasama antarabangsa mengenai perlindungan panda gergasi dengan negara berkaitan,” kata Ning.
Menurut Tabung Alam Sedunia (WWF), dianggarkan terdapat 1,860 panda gergasi yang tinggal di alam liar dan kira-kira 600 panda dalam kurungan di pusat penjagaan, zoo dan taman hidupan liar di seluruh dunia.-AFP










