WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Chew Shou Zi berulang kali ditanya mengenai hubungannya dengan China walaupun menegaskan beliau adalah warga Singapura ketika menghadiri sesi perbicaraan di Washington kelmarin.
Shou Zi adalah antara pemimpin syarikat media sosial terbesar yang menjadi sasaran senator AS dalam usaha terbaharu penggubal undang-undang negara itu untuk menangani kebimbangan ibu bapa dan pakar kesihatan mental tentang pengaruh buruk yang dibawa kepada kanak-kanak.
Syarikat media sosial itu didakwa mengutamakan keuntungan berbanding usaha untuk memastikan platform mereka tidak membahayakan kanak-kanak.
Shou Zi memberi keterangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg; Ketua Pegawai Eksekutif X, Linda Yaccarino; Ketua Pegawai Eksekutif Snap; Evan Spiegel dan Ketua Pegawai Eksekutif Discord; Jason Citron.
“Seperti yang sering anda katakan, bahawa anda tinggal di Singapura. Dari bangsa apakah warganegara anda?” tanya Senator AS, Tom Cotton.
Cotton kemudian bertanya sama ada Shou Zi pernah memohon kewarganegaraan China.
“Senator, saya berkhidmat untuk negara saya di Singapura. Tidak, saya tidak melakukannya,” jawab Shou Zi.
Shou Zi turut ditanya lagi sama ada pernah mempunyai kaitan atau menjadi ahli Parti Komunis China namun dengan tegas mengulangi jawapannya bahawa beliau adalah warga Singapura dan tidak pernah berbuat demikian.
Senator AS meminta Kongres segera meluluskan undang-undang baharu kerana menuduh syarikat itu gagal melindungi kanak-kanak daripada peningkatan ancaman pemangsaan seksual di platform mereka.
“Sebagai bapa kepada tiga anak kecil saya sendiri tahu bahawa isu yang kita bincangkan hari ini adalah mengerikan dan mimpi ngeri setiap ibu bapa,” kata Shou Zi.
Beliau menambah, TikTok akan membelanjakan lebih daripada AS$2 bilion (RM9.45 bilion) untuk usaha amanah dan keselamatan tetapi enggan menyatakan bandingan angka itu dengan pendapatan keseluruhan syarikat.
“Tahun ini sahaja, kami mempunyai 40,000 profesional keselamatan yang bekerja mengenai topik ini,” katanya.
Shou Zi turut mendedahkan, lebih 170 juta rakyat AS menggunakan TikTok setiap bulan, 20 juta lebih tinggi berbanding tahun lepas.
Syarikat aplikasi video pendek milik China itu berdepan persoalan tegas pada Mac tahun lalu, dengan beberapa pihak mencadangkan aplikasi itu merosakkan kesihatan mental kanak-kanak dan data pengguna mungkin diserahkan kepada kerajaan China. -.REUTERS










