CANBERRA: Australia mendedahkan ‘model kereta pilihan’ dengan piawaian baharu berkaitan pelepasan asap kenderaan ketika negara itu semakin hampir memuktamadkan peraturan untuk meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV).
Pelan itu dilaporkan selaras dengan piawaian yang diguna pakai di kebanyakan negara maju.
Peta hala tuju ke arah mencapai standard kecekapan bahan api diumumkan pada tahun lalu oleh kerajaan berhaluan tengah-kiri yang memenangi pilihan raya 2022 dengan menjanjikan pembaharuan dasar iklim.
Peta hala tuju itu merupakan dasar yang dikatakan akan mendorong pengeluar menghantar lebih banyak EV ke Australia dan seterusnya meningkatkan penggunaannya.
Selain Russia, menurut kerajaan parti Buruh, Australia merupakan satu-satunya negara maju sama ada tidak mempunyai atau sedang membangunkan piawaian kecekapan bahan api.
Ketika mendedahkan `model pilihan’ itu, kerajaan memaklumkan pihaknya mengutamakan pilihan yang akan membawa Australia selaras dengan piawaian Amerika Syarikat (AS) menjelang 2028 dan memberikan hasil manfaat kos optimum untuk pembeli kereta tempatan.
Dilaporkan, piawaian baharu itu dijangka berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan.
Sementara itu, Menteri Tenaga, Chris Bowen menerusi kenyataan memaklumkan piawaian baharu bakal menjimatkan kos bahan api sebanyak 100 bilion dolar Australia (RM309.5 bilion) kepada para pemandu kenderaan sehingga tahun 2050.
“Langkah ini bagi memastikan rakyat Australia boleh memilih kenderaan terkini dan paling cekap sama ada enjin petrol dan diesel atau hibrid atau elektrik,” katanya.
Menurut persatuan automatif negara itu, jualan EV di Australia mencecah paras tertinggi sepanjang masa pada tahun lalu.
Bagaimanapun, jualan kenderaan ringan kekal didominasi oleh pelepasan intensif trak dan kenderaan utiliti sukan (SUV).
Pengangkutan merupakan antara sumber pelepasan asap terbesar di Australia dan penggunaan EV yang tinggi berupaya mengukuhkan lagi janji kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 43 peratus menjelang 2030. – REUTERS










