5,500 liter air radioaktif bocor dari loji nuklear Fukushima

5,500 liter air radioaktif bocor dari loji nuklear Fukushima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Kira-kira 5,500 liter air radioaktif dilaporkan bocor dari loji nuklear Fukushima di Jepun.

Bagaimanapun, pengendali loji itu mengesahkan setakat ini tiada tanda pencemaran dikesan di luar kemudahan berkenaan.

Menurut jurucakap Tokyo Electric Power Co (TEPCO), kebocoran itu dikesan di bahagian loji yang memproses air tercemar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami menganggarkan kira-kira 5.5 tan (5,500 liter) air radioaktif bocor.

“Namun, `tiada perubahan ketara’ dikesan pos memantau radioaktif di sekitar stesen janakuasa itu,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, TEPCO merancang untuk mengeluarkan tanah dari sekitar kawasan yang mungkin tercemar.

Jurucakap itu tidak mendedahkan butiran khusus mengenai lokasi air bocor.

Dilaporkan, loji Fukushima itu musnah akibat gempa bumi dan tsunami besar pada 2011 yang mengorbankan 18,000 orang.

Ia disifatkan sebagai antara bencana nuklear paling buruk dalam sejarah.

Operasi pembersihan itu dijangka mengambil masa beberapa dekad, dengan tugas paling berbahaya iaitu mengeluarkan bahan api radioaktif dan sisa runtuhan daripada tiga reaktor terjejas, masih belum bermula.

Pada Ogos tahun lalu, Jepun mula melepaskan 1.34 juta tan air sisa terawat yang terkumpul sejak malapetaka, secara berperingkat ke Lautan Pasifik.

Jepun menyatakan ia tidak berbahaya dan dicairkan dengan air laut.

Pandangan itu disokong oleh badan pemantau atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) namun China dan Russia mengkritik langkah pelepasan air sisa itu dan mengharamkan import makanan laut Jepun.

Kebocoran yang dilaporkan itu berlaku di kemudahan yang memproses air sebelum kebanyakan unsur radioaktif ditapis di sebuah lagi kemudahan canggih berasingan yang dikenali sebagai ALPS.

Menurut TEPCO, kebocoran itu dikesan oleh seorang pekerja yang sedang membersihkan lohong sebelum mengendalikan kemudahan itu.

“Lohong perlu ditutup semasa pembersihan namun kali ini ia dibuka,” kata jurucakap itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini