JAKARTA: Bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri turun padang untuk membantu calon presiden dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Ganjar Pranowo.
Megawati bersama Ketua Dewan Perwakilan Pusat PDIP, Puan Maharani mengiringi bekas Gabenor Jawa Tengah itu pada hari pertama kempen politik menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 pada bulan depan.
Kempen pertama Ganjar berlangsung di Padang Tegallega di Bandung, Jawa Barat, kelmarin sebelum kempen seterusnya diadakan di Sidoarjo, Jawa Timur.
Malah, dalam kempen itu, Megawati yang juga Pengerusi PDIP dilaporkan menyanyi dan menari bersama kumpulan rock Indonesia, Slank.
Dilaporkan, Ganjar bersama Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan akan bersaing merebut jawatan Presiden Indonesia dalam pilihan raya bulan depan.
Megawati ketika menyampaikan ucapannya di hadapan penyokong mendedahkan sebab menyertai kempen pertama Ganjar di Bandung.
Katanya, dia datang ke Bandung sebagai mengenang bapanya, Sukarno yang merupakan Presiden pertama Indonesia.
Pada masa sama, Megawati juga meminta rakyat agar tidak melupakan perjuangan Bung Karno.
“Saya datang sini kerana teringat pada bapa saya, malah seperti dinyatakan oleh Ganjar sebelum ini jangan lupakan perjuangan beliau.
“Saya berkata demikian bukan kerana Bung Karno adalah bapa tetapi merupakan pemimpin kita yang membebaskan Indonesia daripada penjajahan lebih tiga abad,” katanya.
Tambah Megawati, perjuangan Bung Karno bermula di Jawa Barat ketika beliau pada usia muda.
“Dari usia 16 tahun, Bung Karno mengembara sekitar Jawa Barat dan di sinilah dia pertama kali menjelajah kerana beliau percaya permulaan di sini rakyat diberikan pengertian apa erti kemerdekaan,” katanya. – AGENSI










