Tealive, Foodie terajui jualan e-baucar siaran langsung pertama di Malaysia

Tealive, Foodie terajui jualan e-baucar siaran langsung pertama di Malaysia

BRYAN Loo (kiri) dan Pinn Yang (kanan) ketika kempen e-baucar ‘OG Big Bang Livestream’ 12 jam secara langsung di TikTok Shop.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tealive bersama Foodie Media Berhad menganjurkan kempen e-baucar ‘OG Big Bang Livestream’ 12 jam secara langsung di TikTok Shop, menjadikannya jenama minuman pertama di Malaysia melaksanakan jualan e-baucar berskala besar di platform berkenaan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo Woi Lip berkata, Tealive OG Big Bang Livestream merupakan langkah penting dalam mendekati pengguna secara digital.

“Jualan e-baucar secara siaran langsung ini adalah hasil kerjasama rapat selama berbulan-bulan bersama Foodie dan TikTok Shop untuk memperkenalkan sesuatu yang berbeza dalam pasaran.

“Dengan gabungan barisan personaliti media sosial terkenal, siaran langsung 12 jam berkonsepkan karnival, serta tawaran e-baucar eksklusif, kami berjaya menghidupkan pengalaman jenama Tealive secara interaktif, mudah diakses, dan selari dengan pilihan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kempen itu memperlihatkan bagaimana jualan siaran langsung boleh menjadi pemacu baharu industri makanan dan minuman dengan membantu jenama mempercepat pertumbuhan, mengukuhkan hubungan bersama pengguna dan kekal relevan dalam era digital.

Sementara itu, Foodie Media memainkan peranan penting dalam merangka serta melaksanakan strategi jualan siaran langsung tersebut, memastikan penceritaan jenama selari dengan cara pengguna berbelanja di platform.

Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang berkata, kempen itu membuktikan bagaimana penyiaran digital boleh diterjemahkan kepada jualan sebenar melalui pendekatan yang tepat.

“Kami telah meneliti model ini sejak sekian lama, khususnya selepas melihat bagaimana pasaran seperti China menggabungkan kandungan digital dengan jualan siaran langsung untuk memacu transaksi dalam talian.

“Isu penebusan sering menjadi cabaran dalam jualan e-baucar, namun integrasi dengan TikTok Shop membantu menjadikan proses pembelian dan penebusan lebih lancar.

“Kerjasama bersama Tealive ini boleh menjadi rujukan kepada jenama lain.

“Dengan membolehkan penonton membeli secara terus daripada video atau siaran langsung, kami menyatukan kandungan, pencipta kandungan dan penukaran dalam satu ekosistem,” katanya.

Antara tarikan utama siaran langsung ini ialah OG Bang Bang E-Voucher, yang ditawarkan secara eksklusif sepanjang siaran.

Penonton menikmati promosi Beli 1 Percuma 1 dan Beli 3 Percuma 2 bagi siri OG Bang Bang Mousse Tealive.

E-baucar berkod bar itu boleh dikongsi dan ditebus di lebih 800 cawangan Tealive di seluruh negara, memberikan pengalaman pembelian dalam talian dan penebusan di premis fizikal berjalan lancar.

Dalam pada itu, minuman OG Bang Bang disajikan bersama boba mutiara, gula perang beraroma istimewa Tealive, dan lapisan mousse lembut berperisa Da Hong Pao, dalam cawan lutsinar biodegradasi yang mencerminkan komitmen jenama terhadap pembungkusan lebih mesra alam.

Selain e-baucar, siaran langsung ini turut memperkenalkan Joy Box baharu Tealive dalam pilihan Milk Tea, Coffee, dan Coco, setiap satu didatangkan dengan tumbler premium secara rawak.

Tawaran edisi terhad dan promosi eksklusif sepanjang siaran membuktikan keberkesanan promosi berjangka masa dalam merangsang pembelian segera di platform media sosial.

OG Big Bang Livestream menerima sambutan hangat dengan interaksi penonton yang tinggi dan nilai jualan mencecah ratusan ribu ringgit, menunjukkan potensi komersial model e-baucar melalui siaran langsung sebagai saluran dagangan yang berdaya maju. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN