BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyelewengan barang kawalan melalui Ops Tiris 3.0, dalam satu serbuan di sebuah stor di Tasek Gelugor, malam tadi.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan, berkata serbuan kira-kira pukul 10 malam itu membabitkan rampasan hampir enam tan minyak masak bersubsidi bernilai kira-kira RM49,000 hasil maklumat awam dan risikan beberapa minggu lalu.
Dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Serbuan menemukan 5,092 kilogram (kg) minyak masak paket satu kilogram serta 1,500kg minyak cecair yang disyaki, disimpan dalam botol ‘jerry can’ berwarna kuning. Turut ditemui 50 kotak kosong paket minyak, dua tong kosong, serta peralatan pemindahan termasuk corong dan gunting. Seramai 200 tong ‘jerry can’ disyaki digunakan sebagai tadahan minyak paket,” katanya.
Jegan berkata, semua barangan dirampas dianggarkan bernilai RM48,965. Sindiket terbabit dipercayai menggunakan taktik berpindah-randah termasuk rumah sewa sebagai lokasi operasi bagi mengelak pengesanan pihak berkuasa.
Siasatan awal mendapati sindiket beroperasi sejak dua bulan lalu dengan modus operandi mendapatkan bekalan minyak subsidi daripada beberapa pemborong dan peruncit sebelum dipindahkan ke tong besar.
“Kertas siasatan kini dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan,” katanya. – UTUSAN










