GEORGE TOWN: Inisiatif tambang percuma diperkenalkan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sempena sambutan Thaipusam baru-baru ini menyaksikan lonjakan 14.27 peratus penumpang feri di negeri itu.
Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, berdasarkan rekod, seramai 27,847 penumpang menggunakan perkhidmatan feri semasa perayaan itu, berbanding 24,369 penumpang tahun lalu.
“Inisiatif ini membuktikan perkhidmatan feri masih relevan sebagai mod pengangkutan awam utama, terutamanya semasa musim perayaan. Peningkatan penggunaan feri mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan dan kebolehpercayaan perkhidmatan yang disediakan,” katanya di sini, hari ini.
Soon Hin berkata, peningkatan jumlah penumpang direkodkan secara konsisten untuk kedua-dua arah perjalanan iaitu dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU). Laluan dari PRTU ke PSAH mencatat kenaikan lebih tinggi iaitu 17.30 peratus, manakala laluan dari PSAH ke PRTU meningkat 11.48 peratus.
Katanya, kejayaan pelaksanaan tambang percuma menunjukkan keberkesanan strategi itu dalam memudahkan pergerakan orang ramai ketika musim perayaan.
“SPPP sentiasa menyokong usaha Kementerian Pengangkutan Malaysia menyediakan sistem pengangkutan awam yang cekap dan kami akan memperkukuh strategi operasi serta komersial bagi memastikan kelancaran operasi, keselamatan, dan kepuasan pengguna berada pada tahap terbaik,” katanya.
Tambang feri percuma sempena Thaipusam ditawarkan bermula tengah malam 31 Januari hingga pukul 3 pagi 2 Februari bagi memudahkan pergerakan orang ramai sempena perayaan itu. – UTUSAN










